Bagaimana Melatih Kemahiran Bahasa Anak-anak?

image

Kini si kecil anda sudah boleh bertatih. Dia semakin aktif ke sana-sini. Namun lakukan aktiviti berfaedah kepadanya termasuk meningkatkan penguasaan bahasanya.

Aktiviti bermain merupakan cara terbaik untuk menggalakkan perkembangan si kecil anda. Lakukan aktiviti bersamaannya antaranya mewarna, membaca, berlari atau melompat, tetapi pastikan bentuk permainan itu mesti diselitkan dengan nilai-nilai pendidikan.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa membaca adalah salah satu cara si kecil belajar kemahiran pertuturan dan bahasa. Apabila anda membaca bersama anak, ia memberi banyak faedah. Ia membantu meningkatkan kemahiran bercakap, bahasa dan anda juga mempunyai masa kualiti bersamanya.

Bagi merangsang kemahiran berbahasa, ia boleh dimulakan dengan menjadikan masa membaca itu suatu keseronokan. Untuk menjadikan ia menarik, ketika menyebut teks cerita tunjukkan dengan jari anda. Gerakkan jari ini membantu anak untuk menghubungkan percakapan dengan ayat yang terdapat dalam buku itu.

Anda boleh melakukan perkara yang sama ini pada komputer peribadi atau i-pad. Pastinya anda bersama anak seronok meneroka melihat warna dan bunyi yang menarik ketika melayari laman web tertentu.

Perkembangan bahasa anak bukan terhad kepada buku sahaja. Ia mungkin boleh dilakukan di sekelilingnya iaitu semasa di jalan raya, dalam kereta, di taman permainan atau pusat membeli-belah. Jika anda pergi ke pasar raya untuk membeli barang dapur contohnya sup, buah-buah atau jus. Baca label yang terdapat pada produk ini. Jangan buang label ini di rumah. Ini kerana apabila anda pergi ke pasar raya lagi, anda boleh menyuruhnya mengambil produk yang sama. Dengan cara ini anak anda dapat belajar dengan cepat.

Dalam pada itu, jangan paksa anak untuk membaca buku dengan banyak dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran bahasanya. Biarkan dia secara semula jadi belajar di persekitarannya. Apa yang perlu anda lakukan ialah hanya perlu mengawasi dengan aktiviti yang dilakukannya.

Jika anak anda sudah mengenali ayat atau huruf jangan terus memaksanya untuk terus membaca. Anak kecil memerlukan masa untuk membaca.

Secara psikologinya, anak kecil tidak akan mula membaca dengan sendirinya sehingga dia betul-betul sukakan buku. Cara membaca bersama si kecil adalah pendekatan yang terbaik untuk membuatkan dia sukakan buku.

Terdapat beberapa panduan untuk membuatkan dia sukakan buku iaitu :

1. Baringkan diri bersamanya di dalam bilik sambil membaca buku. Kanak-kanak tahap usia ini menyukai sentuhan bersama.

2. Bacalah buku cerita secara berjadual. Ini dapat membantu kanak-kanak ini sentiasa tertunggu cerita kegemarannya setiap hari.

3. Jadikan waktu membaca buku ceritalah adalah waktu yang ceria. Ia membuatkan kanak-kanak seronok untuk mendengar cerita anda.

4. Boleh jadikan membaca buku cerita pada waktu tidur. Jadikan ia rutin dalam keluarga anda. Duduk di sebelahnya atau ribaannya semasa membawa membaca buku cerita. Anak anda dapat mendengar suara anda dengan lebih jelas lagi.

5. Intonasi suara memainkan peranan membuatkan cerita menarik apabila dibaca. Kanak-kanak pastinya teruja apabila anda membuat suara garau apabila menceritakan watak harimau.

Pilihan Buku

Saiz Besar
Buku mesti besar supaya mudah dipegang. Dengan ini mudah untuk dia membelek buku satu halaman ke satu halaman lain.  Juga pastikan buku berwarna terang, berwarna, ringkas imejnya.

Jenis Buku
Pilihan buku mestilah dapat memberikan keseronokan kepadanya. Buku itu juga membantu anda mengeluarkan suara berbeza berdasarkan watak dalam buku. Pastikan watak watak dalam buku cerita itu dibaca berulang kali supaya si kecil dapat mengingati sebahagian watak dalam buku itu. Cuba tanya apa watak dalam buku cerita itu. Jika kucing, tanyakan bagaimana bunyi kucing. Cara ini membantu menambah penguasaan bahasannya.

Reka Cerita
Anda juga boleh mencipta cerita sendiri. Ambil pencil warna dan lukislah sesuatu yang menarik. Jadikan ia sebuah buku cerita yang mengandungi lukisan pelbagai bentuk dan warna. Kemudian ceritakan apa sahaja yang anda ingin ceritakan. Cara ini menambah penguasaan bahasa anak anda. Selain itu, boleh membaca bahan bacaan lain di hadapannya seperti surat khabar atau majalah. Cara ini menggalakkan si kecil untu minat membaca.

Info :
Selain membaca anda juga boleh melakukan aktiviti bermain bersama si manja anda. Ini kerana belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak.

Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa.

Jadikan beberapa pendekatan yang mesti dilakukan untuk kanak-kanak belajar sambil bermain dengan gembiranya iaitu :

■ Aktiviti yang menggembirakan
■ Penerokaan dan interaksi dengan persekitaran
■ Permainan bebas dan terancang
■ Kelonggaran masa
■ Percubaan idea sendiri
■ Peluang untuk memberikan tumpuan dan perhatian.

Sumber : Kumpulan Karangkraf

Advertisements