Penyakit Misteri Korbankan 61 Kanak-kanak Di Kemboja

image

PHNOM PENH – Pegawai kesihatan di Kemboja kini bertungkus-lumus mencari punca sejenis penyakit misteri yang meragut lebih daripada 60 nyawa kanak-kanak negara itu sejak dua bulan lalu.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), sindrom yang tidak didiagnosis itu membunuh 61 orang daripada 62 kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital sejak April lalu, tetapi tidak menunjukkan ianya merebak menerusi manusia ke manusia.

Jurucakap WHO, Aphaluck Bhatiasevi memberitahu, petugas kesihatan masih cuba untuk mengenal pasti sama ada kes melibatkan penyakit serupa atau terdiri daripada kumpulan pelbagai penyakit.

Kesemua kanak-kanak yang dijangkiti adalah di bawah umur 7 tahun dan mengalami demam panas diikuti dengan gejala neurologi serta masalah pernafasan teruk dalam masa singkat.

Kes berkenaan dilaporkan berlaku di beberapa hospital 14 wilayah yang kebanyakannya terletak di selatan Kemboja. Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Man Bung Heng berkata, pencarian punca sebaran penyakit misteri itu akan mengambil masa dan mengesahkan bahawa negara-negara jiran telah dimaklumkan mengenainya.

Sumber : Sinar Harian

Advertisements