Ulfah, Pelengkap Hidup Imam Muda Hassan

image

BIBIT perkenalan dan percambahan cinta di antara suami isteri ini bukanlah seperti hubungan cinta yang diamalkan kebanyakan muda-mudi.

Walaupun tidak pernah dibuai perasaan cinta sebelum berkahwin, namun akhirnya, Mohd Hassan Adli Yahaya, 27, atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan, namun menyemai cinta di antara mereka selepas bergelar suami isteri. Mereka berjaya membuktikan cinta selepas kahwin sangat indah dan membawa keharmonian.

Memilih insan bernama, Fardatul Ulfah, 25, sebagai pelengkap hidupnya pada 17 Februari lalu, l ternyata pasangan ini masih dibuai cinta. Kemesraan jelas terpancar dari riak wajah mereka walaupun tidak mengambil masa yang lama untuk membina hubungan yang diredhai.

“Saya memang tidak mahu bercinta kerana saya ingin bercinta selepas kahwin. Saya ingin menikmati saat indah itu bersama isteri saya.”

“Itu juga adalah cara Rasulullah SAW mengenali Siti Khadijah. Walaupun Rasulullah mengenali Siti Khadijah, namun mereka tidak pernah bercinta. Sebab itulah Rasulullah amat menyayangi Siti Khadijah dan mengambil masa selama lima tahun setelah kematian isterinya untuk berkahwin lain.”

“Saya ingin terapkan kepada muda-mudi, bercintalah selepas kahwin kerana ia lebih indah berbanding cinta sebelum kahwin,” kata Juara Imam Muda 2 ini.

Bercerita mengenai bibit perkenalan mereka, Hassan memberitahu, dia mengenali Ulfah menerusi seorang rakan.

“Sebelum ini, kami tidak mengenali antara satu sama lain. Ketika menyertai Imam Muda Musim Kedua, ada rakan yang ingin menyatukan kami dan menunjukkan gambar Ulfah.”

“Selepas program Imam Muda tamat, saya lupa untuk tanya mengenai hal itu sehinggalah rakan saya bertanya. Saya membuat keputusan berjumpa ketika Ramadan tahun lalu ditemani dua rakan lain.”

“Pertama kali jumpa, tidak banyak yang dibincangkan. Kami membuat keputusan bertunang pada 16 Oktober lalu dan terus berbincang mengenai perkahwinan. Kami tidak pernah bercakap melalui telefon dalam waktu itu, hanya kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) jika ada perkara penting,” katanya yang mendirikan rumah tangga selepas pulang mengerjakan haji.

Tepati ciri-ciri pilihan
Bertanya mengenai sifat dan kriteria yang ada pada Ulfah sehingga berjaya meruntun jiwa lelakinya, Hassan kemudiannya tersenyum dan memberitahu, isterinya itu menepati ciri-ciri pilihannya.

Kata Hassan, bukan sahaja memenuhi empat tuntutan agama, malah Ulfah juga memiliki keistimewaan tersendiri.

“Saya memerlukan isteri yang memahami tugas saya yang sentiasa sibuk. Setakat ini, Ulfah tidak pernah merungut mengenai kesibukan saya kerana dia amat memahami. Mungkin kerana dia juga sibuk membuatkan dia tidak kisah dengan kesibukan saya.”

“Dia juga seorang yang berdikari dan tidak hanya bergantung kepada saya. Saya perlukan isteri yang berdikari kerana saya tidak dapat untuk bersamanya setiap masa.”

“Dia juga lasak dan sering mengikuti persatuan untuk melakukan kerja amal dan kebajikan. Paling penting, dia pandai memasak. Dia pernah menyediakan hidangan nasi tomato untuk saya,” katanya.

Pentingkan kejujuran
Pasti ramai yang teruja jika dirinya menjadi sebahagian daripada insan yang dikenali ramai dan ikon masyarakat, namun bagi Ulfah, tidak pernah timbul rasa ingin mendabik dada.

Menganggap suaminya dari sudut berbeza, Ulfah tidak kisah mengenai status Hassan kerana dia tidak pernah berimpian untuk menumpang populariti suami.

Mengidamkan suami yang berilmu dan mempunyai sikap kepimpinan, Ulfah bersyukur dikurniakan suami yang memenuhi ciri-ciri yang diingini selama ini.

“Saya tidak pernah menyangka jadi isteri Ustaz (Hassan). Namun, soal jodoh, semuanya di tangan Allah. Ketika rancangan Imam Muda, saya menontonnya namun tidak sangka, Ustaz akan jadi suami saya.”

“Walaupun dia dikenali, tidak pernah ada istilah cemburu kerana saya terima Ustaz seadanya termasuk peminat dan keluarganya.”

“Apa yang penting ialah kejujuran dan kepercayaan. Jika ada apa-apa perkara yang tidak kena, segera bertanya. Jangan segera membuat penilaian yang boleh membawa kepada keburukan,” katanya yang juga berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah rendah swasta di Damansara.

Diberi kepercayaan untuk mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris, Ulfah juga turut melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah.

“Waktu pagi hingga petang, saya berada di sekolah. Jadi, masa yang ada saya gunakan untuk belajar.”

“Ketika menyambung Ijazah di Universiti Malaya (UM), saya memang aktif dengan pelbagai persatuan Islam yang dianjurkan oleh universiti. Bila dah mula mengajar, terpaksa kurangkan penglibatan,” katanya.

Bakal timang cahaya mata
Setiap pasangan yang berkahwin mengimpikan kehadiran cahaya mata, begitu juga dengan Hassan dan Ulfah.

Hampir lima bulan bersama, akhirnya, Ulfah disahkan hamil dan usia kandungan kini mencecah tiga bulan. Tidak dapat digambarkan melalui ungkapan kata-kata, mereka menantikan kehadiran pengikat kasih itu dengan penuh kesabaran.

“Alhamdulillah, rezeki ini amat bernilai buat kami dan Insya-Allah, kehadiran cahaya mata ini akan menyerikan lagi rumah tangga kami. Saya tidak kisah jantina, baik lelaki mahupun perempuan, semuanya saya terima.”

“Kami akan mendidiknya dengan cara yang terbaik agar menjadi anak dan insan yang berguna. Memandangkan usia kandungan masih baru, saya sering menasihati Ulfah supaya lebihkan berehat dan tidak melakukan aktiviti berat.”

“Walaupun Ulfah hamil, saya tidak dapat mengurangkan aktiviti saya kerana terikat dengan jadual. Namun, jika terpaksa berada di luar kawasan, saya akan meminta adik saya untuk menemani Ulfah di rumah,” katanya yang dilantik sebagai Ketua Mentor, Imam Muda 3.

Jubah jenama sendiri
Walau pun rancangan Imam Muda 2 telah lama berakhir, namun perjuangan dan kerjaya Hassan masih lagi berpaksikan bidang agama.

Masih menerima tawaran dan undangan ceramah agama, Hassan juga bijak mencari peluang dalam bidang perniagaan. Tampil dengan syarikat agensi pelancongan sejak penghujung tahunlalu, Hassan juga semakin berjinak dalam perniagaan pakaian.

Memperkenalkan persalinan jubah untuk lelaki di atas jenama, Hassan Adli, Hassan berharap pendekatan yang digunakan dapat diterima oleh masyarakat Islam di Malaysia.

“Di negara Arab, jubah menjadi pakaian harian mereka. Apabila melihat senario itu, saya terfikir untuk membawa budaya pemakaian jubah di negara kita.”

“Ramai yang menganggap pemakaian jubah tidak begitu up to date kerana rekaannya lebih sesuai kepada orang tua sahaja. Namun, melalui jubah ini, saya dapatkan rekaan khas yang lebih menarik untuk digayakan oleh semua peringkat umur.”

“Menggunakan kain jenis, Polycotton yang diimport khas dari Indonesia, saya perkenalkan dua warna, hitam dan coklat.
Sebagai permulaan, koleksi ini dipasarkan di pusat kain, Jakel, dengan harga berpatutan,” katanya yang turut menjual secara online.

Dalam perkembangan lain, Hassan juga bakal tampil dengan buku agama yang berbentuk soal jawab, terbitan UNIC. Selain itu, dia juga bakal memperkenalkan cakera padat (CD), Doa Haji dan Umrah.

Sumber : Sinar Harian

Advertisements