Sikap Pemurah Rakyat Malaysia Menyukarkan Usaha Banteras Pengemis

image

KUALA LUMPUR – Sikap rakyat Malaysia yang pemurah dan mudah simpati dengan kesusahan orang menyebabkan aktiviti pengemisan di Malaysia sukar dibanteras, kata Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM) Rosman Khan Zainul Abidin Khan.

Beliau berkata walaupun JKM telah melakukan usaha berterusan untuk membendung kegiatan itu seperti menjalankan operasi bersepadu dan yang terbaharu melalui pelancaran Kempen ‘Henti Memberi Kami Prihatin’, namun kegiatan itu masih terus berlaku.

“JKM adalah agensi yang bertanggungjawab menjalankan penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta Orang Papa 1977,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis menyerahkan risalah dan pelekat kenderaan di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Rosman berkata pengemisan boleh ditakrifkan sebagai apa-apa kelakuan yang dikira akan mendorong pemberian sedekah, berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon dan menawarkan sesuatu untuk jualan. Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang sahaja dirasakan tidak memadai tanpa usaha-usaha pendidikan kepada masyarakat dan kerjasama agensi-agensi berkaitan.

Justeru itu, beliau berkata JKM telah menguar-uarkan kempen ‘Henti Memberi Kami Prihatin’ kepada orang ramai untuk membendung masalah itu. Sementara itu, JKM mengedarkan sebanyak 2,000 risalah dan pelekat kenderaan kempen ‘Henti Memberi Kami Prihatin’ kepada para pemandu yang melalui Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Rosman berkata antara objektif pengedaran risalah dan pelekat itu adalah untuk memberi kesedaran kepada warga kota Kuala Lumpur mengenai aktiviti pengemisan yang menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau berkata bagi membanteras gejala pengemisan itu, masyarakat perlu mempunyai kesedaran dengan tidak menghulur sumbangan kepada pengemis.

Majlis pengedaran risalah dan pelekat kenderaan kempen ‘Henti Memberi Kami Prihatin’ itu adalah kali kedua diadakan selepas program pertama pada 29 Jun lepas di perhentian teksi Kuala Lumpur Sentral. – Bernama

Advertisements