Pesta Berkubang

image

Gambar Hiasan

KEPALA BATAS: Pantai Kuala Muda, Penaga, di sini, yang biasanya sepi bertukar bagaikan ‘pesta’ pada hujung minggu apabila 1,000 pengunjung mengambil kesempatan air surut untuk mencari kepah.

Pantai berkenaan mula dikunjungi sejak jam 7.30 pagi termasuk mereka dari luar Pulau Pinang seperti Kedah dan Perlis, semata-mata untuk mencari kepah hingga sukar untuk meletak kenderaan masing masing. Tinjauan mendapati orang ramai menggunakan pelbagai peralatan termasuk raga motosikal dan penutup kipas yang sudah rosak mengaut kepah yang berada dalam selut.

Mohd Zamri Yaakub, 34, dari Sungai Dua, Butterworth berkata, dia membawa keluarganya ke Kuala Muda selepas mengetahui ramai orang mencari kepah pada hujung minggu.

“Saya membiarkan tiga anak bermain di sepanjang pantai sambil melihat pengunjung lain mencari kepah.”

“Suasana sungguh meriah tidak ubah seperti pesta apabila hampir sepanjang pantai dipenuhi pengunjung,” katanya.

Pengunjung dari Tokai, Kedah, Minah Mihat, 76, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang mencari kepah yang menjadi makanan kegemarannya.

“Di tempat saya, sukar mencari kepah tetapi di sini (Kuala Muda), begitu banyak. Apa yang menyeronokkan, semua orang tidak kisah dengan selut termasuk yang datang dari bandar semata-mata mahu mencari kepah,” katanya.

Neoh Chin Foon, 59, dari Bukit Mertajam berkata, dia ke Kuala Muda selepas mendapat berita daripada rakannya yang mengatakan pantai berkenaan menjadi tumpuan pada hujung minggu.

“Walaupun kali pertama datang, saya rasa gembira kerana selain dapat bersantai bersama keluarga, pada masa sama dapat membawa pulang kepah untuk dimakan,” katanya.

Bagi yang tidak mencari kepah, mereka membelinya daripada penduduk tempatan yang menjualnya pada harga antara RM1 hingga RM2 sekilogram. Selain kepah, turut dibawa pulang ialah kerang bulu dan siput hijau.

Kehadiran pengunjung luar di Kuala Muda memberi faedah kepada penduduk tempatan yang mengusahakan kedai makan.

Sumber : myMetro

Advertisements