Masalah Mental Semakin Serius Di Malaysia

image

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan memandang serius terhadap peningkatan masalah mental yang menjurus kepada penambahan kes membunuh diri di kalangan rakyat negara ini.

Kata Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

“Kementerian memang memberi perhatian serius kepada masalah kesihatan mental ini dengan mengadakan program teras dengan menumpukan kepada kumpulan sasaran, bukan sahaja masyarakat umum tetapi juga kumpulan sasar seperti kanak kanak, remaja,  mereka yang menghadapi tekanan dan berisiko dan sebagainya.”

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan majikan bagaimana untuk mengurangkan stres atau tekanan di kalangan pekerja, serta menjalankan kajian di peringkat sekolah kerana ia (gejala bunuh diri) bukan sahaja berkait rapat dengan tekanan malah banyak lagi faktor lain yang bersangkut paut dengan masalah kesihatan mental,” katanya yang juga Ketua Puteri Umno kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Puteri Umno bahagian Kuala Terengganu di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai
dilaporkan sebagai berkata, berdasarkan laporan kajian kebangsaan, sebanyak 1,136 kes bunuh diri dilaporkan berlaku antara tahun 2007 dan 2010 dengan kadar 1.3 bagi setiap 100,000 populasi rakyat.

Menurutnya, mereka yang berumur antara 24 dan 44 tahun yang dikategorikan sebagai kumpulan produktif dikenal pasti paling ramai membunuh diri di negara ini dengan golongan lelaki paling ramai membunuh diri berbanding wanita dengan peratusan 75 berbanding 25 peratus.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye pula dilaporkan sebagai berkata di Malaysia, kadar kes bunuh diri telah meningkat antara 19 dan 20 orang bagi setiap 100,000 penduduk berbanding lapan orang pada tahun 1980.

Rosnah berkata kerajaan sebelum ini telah menubuhkan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dan mempunyai garis panduan khusus dalam menangani gejala ini, namun ia menuntu kerjasam daripada semua pihak bagi menanganinya.

Beliau berkata dengan penubuhan Majlis berkenaan serta kerjasama daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan serta swasta, kementerian mengharapkan masalah yang semakin kritikal itu dapat diatasi.

Katanya kementerian itu juga telah menempatkan Pakar Kesihatan Keluarga di Klinik Kesihatan di seluruh negara yang bertanggungjawab untuk melakukan saringan terhadap mereka yang berisiko atau cenderung untuk mengambil jalan singkat dalam menangani masalah yang dihadapi dengan membunuh diri.

“Kita galakkan pelajar, remaja atau individu yang menghadapi masalah atau tekanan mengunjungi Klinik Kesihatan ini. Tugas pakar kesihatan ini ialah melihat kepada ciri-ciri atau simptom-simptom yang berlaku dan memberi rawatan sewajarnya termasuk merujuk kes kepada pakar psikologi,” katanya.

Menurut Rosnah, walaupun masih belum ditempatkan secara 100 peratus, namun kebanyakan Klinik Kesihatan di seluruh negara telah mempunyai Pakar Kesihatan Keluarga. – Bernama

Advertisements