Malaysia perlu 33 peratus pekerja mahir menjelang 2015

image

JOHOR BAHRU – Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 33 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020 bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor industri negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Himmat Singh berkata sektor berkenaan masih lagi berhadapan dengan kemelut kebanjiran buruh asing lantaran kurangnya sambutan belia tempatan untuk menceburi bidang vokasional.

Katanya, dengan tahap kemahiran tinggi dan penggunaan teknologi moden, sektor industri akan dapat menarik minat lebih ramai belia tempatan untuk melibatkan diri dalam sektor berkenaan dan seterusnya memacu pembangunan negara.

“Kerajaan sedang giat meningkatkan usaha untuk mempromosikan bidang kemahiran vokasional ini sebagai sebuah aliran yang digemari para belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya pada perasmian Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) Ke-21 peringkat akhir di Dewan Besar, Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Johor, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi CIDB Datuk Ir Hamzah Hasan. Beliau turut menyeru mereka yang terlibat di dalam sektor itu agar menyumbang kepada peningkatan status aliran berkenaan sebagai pilihan generasi muda.

Himmat berkata, masyarakat perlu dididik serta didedahkan dengan lebih meluas mengenai kepentingan bidang kemahiran vokasional kepada pembangunan negara dan peluang kerjaya yang boleh diperolehi melalui bidang kemahiran itu.

Beliau berkata, kementerian Kerja Raya melalui CIDB
dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sedang
berusaha melaksanakan usaha transformasi bidang
kemahiran vokasional bagi menarik golongan belia
untuk menceburi bidang itu.
PKM peringkat akhir itu bermula hari ini hingga Sabtu ini dan disertai 144 orang yang mewakili pelbagai institut kemahiran dari seluruh negara.

Para peserta bersaing menunjukkan kemahiran masing-
masing dalam 12 bidang pengkhususan termasuk pemasangan bata, jubin lantai, pendawaian elektrik, penyaman udara, pemasangan paip, kimpalan dan hiasan cat kreatif. Acara kemuncak program itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Isnin ini bersempena dengan Perhimpunan Perdana Warga Kemahiran dan peserta yang memperolehi markah tertinggi dalam mana-mana bidang yang dipertandingan akan menerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri pada majlis itu. -Bernama

Advertisements