Kecekalan Penulis Petisyen

image

BIARPUN sudah kehilangan kedua-dua belah kaki akibat kanser dan kini terpaksa pula membelanjakan wang untuk mengubati sakit jantung, seorang warga emas berusia 74 tahun tetap cekal meneruskan pekerjaan sebagai penulis petisyen.

Bertemankan sehelai baju kemeja lusuh dan kain pelekat sebagai pakaian rasminya, Shafiai Mad Isa yang ditemani mesin taip lama sentiasa tersenyum menyambut kedatangan pelanggan.

Dia yang beroperasi dengan menumpang Kedai Kopitiam Chong Kok Jalan Stesen Klang mencari rezeki sebagai penulis petisyen dan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mereka yang mempunyai urusan dengan Mahkamah Majistret Klang.

Pertama kali melihat Shafiai, jelas tergambar seribu satu kisah suka dan duka di balik setiap garis kedutan pada wajahnya. Malah garis-garis pada wajah warga emas itu juga tersimpan pelbagai cerita dan rahsia yang ingin dikongsi dengan setiap pengunjung di kala hadir mendapatkan perkhidmatannya.

Dalam usianya yang semakin lanjut, tahap minda Shafiai yang mesra disapa pakcik masih seperti anak muda. Malah setiap idea dan tutur kata yang dilontarkan boleh membuat pendengarnya terpegun. Namun kehidupan, kesenangan dan kesihatan tubuh badan adalah pinjaman tuhan untuk sementara.

Kini di usia yang hampir mencecah ‘senja’, Shafiai masih menggagahkan diri mencari rezeki demi sesuap nasi sebagai penulis petisyen. Itulah rutin harian yang dilalui Shafiai selama 12 jam sambil menanti pelanggan yang memerlukan ideanya untuk menghantar petisyen, mengisi borang dan kadangkala menjadi penasihat kepada pelanggan menempuhi cabaran hidup.

Mengimbas semula zaman mudanya, Shafiai rancak mengatur bicara. Pengalaman hidupnya terlalu banyak untuk dikongsikan malah kariernya
sebagai penulis petisyen menyebabkan dia menemui ramai orang yang boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi hidup kepada sesiapa saja yang mendengarnya.

Berbicara mengenai bidang yang diceburi sebagai penulis petisyen, segalanya bermula pada 13 Mei 1969. Kurangnya peluang pekerjaan ketika itu mencetuskan ilham kepada Shafiai untuk menjadi penulis petisyen.

“Saya masih ingat lagi pada waktu itu sangat susah untuk mencari kerja. Saya pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi penulis petisyen, tetapi cikgu melarang dengan alasan pekerjaan ini tidak menjamin pendapatan yang mencukupi.

“Namun, disebabkan desakan hidup, saya cuba juga. Kali pertama menjadi penulis petisyen ialah di hadapan Pejabat Daerah Klang. Ketika itu orang ramai berpusu-pusu mengambil borang rumah murah dan saya membantu mereka mengisi borang.

“Sejak itu, saya mendapat ramai pelanggan daripada pelbagai kaum. Maka setiap hari bermula jam 10 pagi, saya akan duduk di bawah sepohon pokok di hadapan Pejabat Tanah Daerah Klang menanti pelanggan yang memerlukan perkhidmatan saya.”

“Dulu ramai yang bekerja sebagai penulis petisyen ini. Pada zaman saya bekerja di bawah pokok itu, ada lima hingga 10 orang sahabat baik yang bersama-sama saya menjadi penulis petisyen. Tapi semuanya sudah meninggal dunia dan tinggal saya yang masih meneruskan kerjaya ini. Saya juga tidak tahu sama ada.pekerjaan ini akan terus bertahan kerana sekarang khidmat penulis petisyen semakin tidak diperlukan.”

“Dulu kami hanya mengenakan bayaran RM1 untuk setiap surat petisyen yang ditaip dan setiap hari jika berjaya mendapat RM5 sehari, saya sudah sangat bersyukur kerana ketika itu jumlah berkenaan besar nilainya,” katanya.

Bercerita mengenai mencari rezeki di zaman darurat pula, dia sentiasa diselubungi ketakutan. Tetapi demi kelangsungan hidup dia tekad untuk terus bekerja.

“Waktu itu masing-masing menjaga nyawa sendiri kerana takut dibunuh atau dicederakan. Tetapi apabila melihat sekumpulan askar yang mengawal kawasan sekitar, hati yang takut sedikit lega,” katanya.

Selama lebih 40 tahun bertugas sebagai penulis petisyen, dia bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Dia mengakui kekuatannya meneruskan kerja itu adalah kerana minat dan cinta.terhadap kerjaya yang dilakukan.

Shafiai berkata, dia pernah diherdik pelanggan yang tidak berpuas hati dengan bayaran yang diminta, tidak kurang juga yang mencacinya. Namun, dia tidak pernah memarahi pelanggan malah terus mengukir senyuman bertemankan mesin taipnya yang mencecah usia 20 tahun.

“Mereka ini tidak faham tugas kita. Sebagai penulis petisyen, saya menjual idea serta inti pati dan isi kandungan dalam surat itu. Bukan mudah untuk melahirkan idea dan memastikan hati pelanggan puas dengan perkhidmatan yang diberikan.”

“Setiap satu surat petisyen caj yang dikenakan adalah RM10. Tetapi jika terdapat sebarang pembetulan kerana kesilapan saya, jarang saya kenakan bayaran tambahan.”

“Orang nampak kerja ini senang. Ada pelanggan yang mudah sangat naik darah jika hasil kerja penulis petisyen kurang memuaskan hati mereka. Sebenarnya, bukan mudah untuk mencari idea dan terus menulisnya untuk disiapkan dalam tempoh singkat. Semua ini cabaran yang mewarnai kerjaya penulis petisyen,” katanya.

Seharian duduk bersamanya, penulis berpeluang menyaksikan sendiri kejadian seperti yang diceritakan Shafiai. Kata-kata yang dilemparkan segelintir pelanggan memang boleh membakar hati, namun penulis petisyen veteran ini menerimanya dengan tenang, malah boleh tersenyum melanggan kerenah pelanggan.

Pada ketika itu, penulis mula sedari betapa kuatnya semangat Shafiai meneruskan perjuangan sebagai penulis petisyen walaupun kini hidupnya umpama kais pagi makan pagi. Manakan tidak, ada harinya dia hanya mampu memperoleh RM20 sehari selepas seharian menunggu pelanggan.

Jika nasibnya baik, dia mampu memperoleh pendapatan RM80 ke RM100 sehari, tetapi wang itu akan dilaburkan untuk kos perubatannya, tambahan pula kini Shafiai menghidap penyakit jantung.

Kini kudrat Shafiai tidak seperti dulu. Jari jemarinya yang dulu rancak menaip di papan kekunci sudah mulai lemah. Namun otaknya masih ligat berfikir mencurahkan pelbagai idea dan saranan.

Tidak mahu buah fikiran Shafiai dipersiakan, isteri tercinta Kalsom Jonid, 50, bertindak meletakkan jawatan sebagai penjawat awam dan membantu
suaminya menaip.

Walaupun pekerjaan ini dianggap lekeh, namun tiada siapa tahu, hasil pendapatan Shafiai sebagai penulis petisyen mampu mendidik tiga anaknya ke menara gading dengan jayanya sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Anak sulungnya, Shumi Khuzaimah sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di London, manakala anak keduanya, Dr Siti Habibah berjaya memiliki PhD di Universiti Liverpool, London dan anak bongsu pasangan itu, Intan Baizura bakal menyambung pengajian di bahagian Sains Forensik di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU).

Kejayaan anak-anak menjadi pengubat kedukaan, keperitan dan kesusahan pasangan sejoli ini.

Sumber : myMetro

Advertisements