Ibu bapa sibuk antara punca risiko kes dera di pusat asuhan

image

KUALA LUMPUR – Tekanan ekonomi yang menuntut ibu bapa bekerja keras dan menghabiskan masa lama di tempat kerja adalah antara faktor penyumbang meningkatnya kes penderaan bayi dan kanak-kanak, menurut seorang ahli akademik.

Bekas pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata hasil kajian institut itu mengenai kes penderaan antara 2006-2010, mendapati ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan mengharapkan pusat asuhan atau pengasuh menjaga anak mereka, membuka peluang kepada segelintir penjaga memberikan perkhidmatan tidak berkualiti.

Mohamed Fadzil, yang kini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, berkata kesibukan ibu bapa itu dilihat sebagai peluang kepada pengusaha pusat asuhan untuk menjaga bayi dan kanak kanak asuhan mereka secar sambil lewa.

“Pengusaha pusat asuhan haram (atau tidak berlesen) pula akan memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengupah pengasuh yang tidak mempunyai pengalaman dalam asuhan awal kanak-kanak,” katanya kepada Bernama.

“Demi mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda, mereka juga gagal untuk menyediakan makanan sihat, memantau kesihatan, premis asuhan yang ala kadar selain mengambil pengasuh yang tidak berpengalaman, (faktor-faktor ini) turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes penderaan di pusat asuhan,” katanya.

Mohamed Fadzil berkata kajian yang dilakukan adalah berdasarkan tinjauan dan kes yang diambil daripada data Polis Diraja Malaysia, Talian Nur Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mangsa dera di hospital dan sebagainya.

Beliau berkata pengasuh yang tidak dilatih cara penjagaan kanak-kanak atau kurang asuhan, berisiko untuk melakukan penderaan apatah lagi apabila hanya memikirkan asal mereka dibayar gaji.

“Ia juga ada kaitan dengan konsep kendiri yang rendah yang membawa kepada tingkah laku terpendam (mengawal sesuatu keadaan atau situasi).. maksudnya depan majikan dia kelihatan elok dan dia boleh kawal tingkah laku, tapi dia mula berubah apabila tindakannya
) tidak diawasi,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan seorang bayi lelaki, Muhammad Zafran Anaqi Muhammad Razali, berusia tiga bulan patah tangan dan kaki kiri dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.

Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak 9,474 kes dera kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 2009 (2,789 kes), 2010 (3,257 kes) dan 2011 (3,428 kes).

Mohamed Fadzil berkata sikap ibu bapa yang tidak memilih pusat asuhan, asalkan kos tidak tinggi juga dilihat sebagai penyumbang kepada bertambahnya bilangan pusat asuhan haram atau tidak berdaftar.

Katanya pusat asuhan berlesen mungkin meletakkan caj yang lebih mahal kerana perlu mematuhi kriteria atau prosedur standard seperti lokasi, keluasan, kualiti pengasuh dan sebagainya.

“Tetapi ibu bapa pula merasakan caj yang mahal itu sebagai bebanan sehingga sanggup merisikokan keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Justeru, nasihat beliau, ibu bapa seharusnya perlu lebih cerewet dalam memilih pusat asuhan untuk anak-anak mereka dan sentiasa meletakkan keselamatan.sebagai isu utama bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, pengusaha sebuah pusat jagaan kanak-kanak, Zaloma Raja Ali berkata sebagai pengusaha, mereka seharusnya lebih prihatin bukan sahaja terhadap penjagaan bayi atau kanak-kanak, tetapi juga memantau para pengasuh.

“Mungkin ada di antara pengusaha pusat asuhan kanak- kanak ini menjadikan perusahaan mereka sebagai kerja sambilan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka dan menyerahkan tugasan sepenuhnya kepada pengasuh untuk menjaga bayi atau kanak kanak yang dihantar di pusat asuhan mereka.

“Keadaan seperti ini secara tidak sedar sebenarnya menjadi risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti penderaan dan sebagainya kerana pemilik pusat asuhan tidak berada di premis mereka bagi memantau atau menyelia setiap perkara,” katanya. – Bernama

Advertisements