Dua Banduan Juarai Tilawah

ALOR SETAR: Penyertaan dua banduan yang masing-masing lelaki dan wanita buat julung kali memberi kenangan manis apabila mereka muncul johan dalam Majlis Perujian Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan Penghuni Penjara Malaysia kali ke-14 di Penjara Pokok Sena, di sini, baru-baru ini.

Johan qari, Mohammad Hussain, 29, (bukan nama sebenar) dari Penjara Kluang, Johor dan johan qariah, Rubiah, 32, (bukan nama sebenar) dari Penjara Wanita Kajang tidak menyangka penyertaan itu membawa kejayaan selepas menewaskan peserta lain.

Mohammad berkata, dia tidak menduga dengan kejayaan itu kerana peserta lain turut hebat dengan bacaan masing-masing hingga markah tidak banyak berbeza.

Menurutnya, dia yang membaca surah Ali-Imran ayat 10 hingga 15 berjaya mendapat markah 82.2 peratus selepas membuat persiapan hampir sebulan untuk membaiki bacaan, taranum dan tajwid bagi menewaskan 19 peserta yang lain.

“Sebelum pertandingan, saya belajar dengan seorang guru agama di sini bagi membaiki bacaan dan mengambil masa empat jam sehari untuk melancarkan bacaan dengan masa yang ditetapkan oleh pengadil,” katanya yang pernah menjadi juara Tilawah Al Quran di Negeri Sembilan.

Tempat kedua dimenangi oleh peserta dari Penjara Sungai Buluh, Selangor dan ketiga pula dari Penjara Tapah, Perak.

Sementara itu, Rubiah berkata, dia juga langsung tidak menyangka akan menjadi juara dalam pertandingan berkenaan selepas menewaskan 12 peserta yang lain.

Katanya, sebelum masuk ke penjara, dia tidak mempunyai asas bacaan al-Quran tetapi dengan hidayah dan tunjuk ajar guru agama yang mengesan bakatnya menyebabkannya diberi diberi peluang menyertai pertandingan itu.

“Hasil tunjuk ajar daripada ustazah, saya mampu membaca dan mengenal tajwid hingga berjaya membaca dengan baik dan sudah khatam sebanyak dua kali sejak masuk ke penjara pada November tahun lalu,” katanya yang bersalah kerana kes pemalsuan dokumen dan dipenjara tiga tahun.

Bagi peserta wanita, tempat kedua dimenangi oleh penghuni dari Penjara Pokok Sena dan ketiga dari Sekolah Henry Gurney, Melaka.

Majlis penutup dirasmikan Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah, Datuk Noh Dahya yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sumber : myMetro

Advertisements