Derma Darah Baik Untuk Kesihatan

image

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang telah 44 kali menderma darah percaya perbuatan itu dapat menghindar seseorang daripada menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Zainal Abidin Mohd Salim, 53, berkata beliau telah berbuat demikian sejak 1992 dan sehingga kini kesihatannya berada dalam keadaan baik.

“Saya tidak pernah ketinggalan menderma darah melalui kempen yang dianjurkan Masjid Negara dan ini merupakan kali kelima saya menderma di sini,” kata pemandu bas itu kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu hadir menderma darah pada Kempen Derma Darah dan Pameran Pendidikan Kesihatan di Masjid Negara yang bermula dari 10 pagi hingga 4 petang.

Sehubungan itu, beliau berkata tidak ada sebab untuk orang ramai berasa ragu menderma darah terutama menjelang bulan Ramadan bagi menampung keperluan Pusat Darah Negara.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara Azhar Tuarno berkata kempen itu antara lain bertujuan mendidik masyarakat Islam akan pentingnya menderma darah.

Pameran turut disertai pelbagai agensi kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis AIDS Malaysia, Majlis Kanser Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya. -Bernama

Advertisements