Warga Emas Disambar Bujang Saribas

image

BETONG: Hasrat seorang lelaki warga emas menjamah nasi berlauk kari ikan kembung yang dibawa tidak kesampaian apabila hilang selepas dibaham buaya sepanjang lebih empat meter ketika membasuh tangan di Sungai Saribas, di Beladin, pagi semalam.

Kejadian berlaku apabila Derahman Chali, 55, mahu menikmati sarapan pagi bersama rakannya, Mohd Nor Bujang, 51, di tebing sungai berkenaan sebelum disambar Bujang Saribas jam 8 pagi.

Menurut Mohd Nor, sebelum kejadian, dia bersama Derahman baru setengah jam tiba di lokasi kejadian untuk mencari rumbia yang menjadi sumber pendapatan mereka.

“Sebaik tiba, mangsa memberitahu dia mahu sarapan terlebih dulu dan sebelum membuka bekalan makanan masing-masing, dia ke sungai untuk mencuci tangan.”

“Saya menghalangnya dan meminta dia menggunakan air dibawa untuk membasuh tangan, tapi dia tetap berdegil untuk turun ke sungai. Hanya beberapa minit, saya terkejut apabila terdengar kocakan air begitu kuat disusuli gelombang.”

“Tanpa berlengah, saya turun ke sungai dan hanya sempat melihat tangan mangsa terkapai-kapai selepas dia ditarik buaya berkenaan. Ketika itu, saya berada kurang 10 meter daripada mangsa, namun saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dia sedih gagal membantu selepas melihat rakan karibnya ditarik ke dalam sungai sebelum lenyap dari pandangan.

“Kebiasaannya, kami bersama-sama turun ke hutan mencari rumbia untuk dijual di Sibu kerana inilah satu-satunya mata pencarian penduduk di sini,” katanya.

Menurutnya, sejurus kejadian, dia memberitahu penduduk bagi mendapat bantuan sebelum membuat laporan di Balai Polis Pusa.

“Saya sangat sedih dengan kejadian ini kerana kami terlalu rapat seperti adik-beradik kerana sering bersama keluar mencari rumbia. Saya tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku di depan mata saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Saifuddin Mustafa berkata, polis melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta bantuan penduduk kampung, namun setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya.

Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas seorang wanita, Siah Munsong, 42, yang juga isteri Tuai Rumah Panjang Sungai Anak, maut dibaham buaya ketika mandi di sungai itu, 19 Jun lalu.

Sumber : myMetro

Advertisements