Tukang Rumah Tertikam Pisau Mesin Rumput

image

KUALA TERENGGANU: “Saya cuba pegang pada kayu di bumbung itu, tetapi genggaman saya terlucut menyebabkan saya terjatuh di atas almari sebelum terhempas pada lantai.”

“Ketika itu saya terasa pedih di bahagian pinggang dan apabila disentuh barulah saya sedar ada benda tajam tertusuk di situ,” kata Malik Abdullah, 50, yang cedera tertikam mata mesin pemotong rumput di Pejabat Pertanian Daerah Hulu Terengganu, Ajil, kelmarin.

Tukang rumah itu yang menetap di Kampung Tuman, Pengkalan Berangan, Marang, ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, sebelum kejadian jam 12.30 tengah hari, dia bersama rakannya menukar lima atap stor pejabat berkenaan yang rosak akibat ribut baru-baru ini.

Menurutnya, selepas memanjat bumbung setinggi 4.5 meter itu, dia meletakkan alat pertukangan sebelum melangkah untuk mengambil atap yang dihulur menerusi forklift, tetapi malangnya dia tersilap langkah dan terjatuh di dalam stor berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia terjatuh di atas almari, tetapi gagal mengimbangi badan menyebabkannya terhempas di lantai pula.

“Belakang badan saya terjatuh tepat di atas mesin rumput yang diletakkan di atas lantai menyebabkan saya tidak boleh bergerak.”

“Darah yang keluar seperti air paip mencurah dan ketika itulah rakan bergegas memapah saya serta meminta bantuan kakitangan pejabat berkenaan untuk menghantar saya ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke HSNZ,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Norizah Jusoh, 48, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah sebelum ke Hospital Hulu Terengganu sebaik dimaklumkan mengenai insiden berkenaan oleh anak saudaranya.

Menurutnya, doktor memberitahu beberapa urat di bahagian saraf belakang badan suaminya terputus akibat terkena mata mesin pemotong rumput itu.

Sumber : myMetro

Advertisements