Sanggup Redah Api Demi Selamatkan Ibu

image

TELUK INTAN – ”Saya hanya mahu ibu yang berada di tingkat atas selamat. Saya tak tahu bagaimana saya boleh dapat tenaga sebegitu kuat mendukung ibu ke tempat yang selamat,” kata mangsa kebakaran, Rohani Safie.

Rohani, 65, ketika ditemui berkata, dia tidak tahu bagaimana dia mempunyai kekuatan dan keberanian meredah api yang marak untuk menyelamatkan ibunya.

Katanya, ketika kejadian, dia tidak ingat apa-apa melainkan mahu menyelamatkan ibunya, Ainon Abdullah, 87, yang berada di tingkat atas rumah mereka di Kampung Batak Rabit, Batu 3, Jalan Maharajalela, di sini.

image

Katanya, sebelum kejadian, dia ada menyalakan dapur untuk masak minyak kelapa sebelum ke ruang tamu untuk berehat seketika.

“Kira-kira jam empat petang saya baru teringat minyak yang dimasak dan sebaik ke dapur saya melihat api sudah menjulang tinggi dan marak.”

“Terkejut dengan keadaan itu, saya terus tinggalkan dapur dan berlari naik ke atas tingkat atas selamatkan ibu. Waktu itu api sudah marak dan hampir menyambar bilik.”

“Dalam keadaan kelam kabut itu saya terpijak getah plastik yang terbakar dan menyebabkan kaki melecur,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan, di sini.

Rohani berkata, walaupun dalam keadaan menahan kesakitan kakinya melecur, dia terus mendukung ibu dan membawanya ke tempat yang selamat.

“Walaupun sedih rumah pusaka kami hangus terbakar begitu sahaja di samping tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk dokumen-dokumen penting, bersyukur kerana kami berdua terselamat,” katanya.

Sementara itu Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Kamarulzaman Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.10 petang, dan ketika sampai ke tempat kejadian hampir 75 peratus rumah sudah hangus dan pihaknya mengambil masa kira-kira 2 jam untuk mengawal kebakaran.

“Dua jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika di hubungi, di sini, semalam.

Sumber : Sinar Harian

Advertisements