“Reboot” Spiderman

image

PETER PARKER mahupun Spider-Man tidak pernah bersara. Tiga filem Spider-Man sebelum ini pernah memperlihatkan aktor Tobey Maguire beraksi sebagai manusia perkasa berkuasa labah-labah atau adiwira Marvel itu dalam cara yang tersendiri.

Tahun ini sesuatu yang lebih segar dan hebat sudah kembali. Spider-Man kini bersedia untuk berkhidmat semula kepada warga New York khususnya yang berada dalam kancah kesusahan.

Namun tugas itu bukan lagi berada di bahu Maguire, sebaliknya dalam sawang Andrew Russell Garfield, pelakon kacak bertubuh langsing yang sebelum ini dikenali dengan filem The Social Network.

image

Pemilihan Garfield sebagai Peter Parker/Spider-Man dianggap tepat dan bersesuaian dengan imej baru filem itu yang mengalami proses ‘reboot’. Bukan saja pelakon utamanya berbeza, The Amazing Spider Man juga diarahkan oleh Marc Webb dalam versi 2D dan 3D.

Dalam pertemuan dengan wartawan antarabangsa termasuk Harian Metro di Cancun, Mexico, April lalu, Garfield, 28, yang muncul dalam gaya santai untuk diwawancara meluahkan rasa terharunya kerana dipilih menjadi Spider-Man oleh pengarah Marc Webb.

“Bagi saya ini umpama satu mimpi yang menjadi kenyataan. Dulu saya menonton Spider-Man dan sekarang saya sendiri adalah Peter Parker. Siapa yang tidak minat dengan komik dan watak-watak Marvel?” katanya dalam menjawab satu soalan.

Berbicara dalam loghat British, Garfield berkata berlakon dalam filem itu adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan bak bermain di sebuah taman permainan.

“Banyak babak lasak saya buat sendiri namun saya dibantu oleh banyak pakar genius yang terbabit dalam produksi ini. Ada tiga lagi pakar lagak ngeri untuk membantu watak saya dan semuanya berjalan seperti mana yang dirancangkan,” katanya.

Melihat kepada fizikalnya yang tinggi dan langsing itu, mungkin ramai beranggapan otot-ototnya tidak ‘solid’ seperti mana pelakon watak adiwira yang pernah kita lihat.

Kata Garfield, pemilihannya mungkin kerana pihak produksi mahu menampakkan karakter ciri-ciri manusia biasa yang mendapat kuasa luar biasa daripada labah-labah ciptaan saintis.

“Pun begitu saya sendiri masih perlu membuat persiapan fizikal selama empat bulan sebelum penggambaran filem ini bermula dan latihan itu perlu dilakukan tujuh hari seminggu. Ia antara lain bagi menguatkan stamina saya dan mendapat bentuk tubuh badan yang lebih sesuai. Saya juga terpaksa mendalami gimnastik.

“Selepas penggambaran selesai saya kembali semula kepada diri saya yang sebenar, seperti yang anda lihat sekarang,” katanya.

Bagi Garfield, dia tidak pernah terfikir atau tertekan untuk bersaing dengan lakonan Maguire dalam Spider-Man sebelumnya kerana dia hanya berlakon mengikut kehendak skrip dan arahan pengarah.

“Saya harap penonton akan suka dengan filem ini kerana ia mempunyai tarikan tersendiri. Saya sendiri teruja melihat versi 3D yang dihasilkan kerana kesannya sangat mengagumkan,” katanya.

Filem kali ini menonjolkan watak jahat seorang saintis tangan kudung yang akhirnya disyaki bertukar menjadi seekor cicak besar digelar Lizard.

Kisah bermula apabila Parker terkena gigitan labah-labah di makmal Oscorp milik Dr Curt Connors (Rhys Ifans) dan terus bertukar menjadi Spider-Man. Konflik percintaan juga berlaku dalam hidup Parker bersama Gwen Stacy (Emma Stone). Selain itu, Parker juga ingin membongkar misteri kematian ayah dan ibunya. Sejak kecil dia dibela oleh Uncle Ben (Martin Sheen) yang kemudian terbunuh dalam satu insiden jenayah.

Garfield dilahirkan di Los Angeles pada 20 Ogos 1983. Ibunya adalah seorang guru yang berasal dari Essex, Britain manakala ayahnya pula seorang ketua juru latih renang dari California, Amerika Syarikat.

Mereka dulu pernah menetap di Britain dan ketika remaja Garfield mula menunjukkan minat untuk menjadi seorang pelakon. Selepas menamatkan pengajiannya, Garfield mengikuti kursus di Central School of Speech and Drama di University of London serta kelas lakonan di Guildford, Surrey.

Ketika berusia 12 tahun, Garfield pernah muncul dalam pementasan kanak-kanak, Bugsy Malone. Seterusnya dia semakin aktif menjayakan banyak pementasan.

Pada 2004, Garfield membolot trofi Bakat Baru terbaik dalam Manchester Evening News Theatre Award diikuti Evening Standard Theatre Awards pada 2006. Garfield pertama kali muncul di kaca TV Britain pada 2005 melalui drama remaja, Sugar Rush.

Pada 2007, dia membintangi siri Doctor Who dan pada tahun yang sama, dilabelkan sebagai 10 Pelakon Lelaki Yang Harus Ditonton oleh majalah Variety.

Melalui Drama Boy pula, Garfield menang gelaran Aktor Terbaik dalam British Academy Television Award 2008. Dari situ, dia membintangi filem The Imaginarium of Doctor Parnassus, diikuti The Social Network arahan David Fincher bersama Brenda Song, Justin Timberlake dan Jesse Eisenberg. Untuk filem itu, Garfield menerima pencalonan Aktor Pembantu Terbaik bagi untuk serta Golden Globe Awards.

The Amazing Spider-Man dijadual memulakan tayangannya di Malaysia hari ini. Selain tayangan di pawagam biasa, penonton juga akan mampu melihat versi 3D yang cukup hebat di pawagam IMAX di Sunway Pyramid.

Sumber : myMetro

Advertisements