Laluan Sukar Buat Daniel Menempah Nama Di Hollywood

image

JIKA dihitung dan disebut satu persatu nama pelakon kelahiran Asia yang menempa nama kukuh di layar perak Hollywood, boleh dikatakan tidaklah seramai mana. Namun, bagi pelakon yang berjaya berbuat demikian, nama mereka cukup menjadi sanjungan semestinya atas dorongan faktor tertentu.

Tidak terkecuali, aktor kacak yang namanya mula menjadi perhatian seluruh dunia selepas membintangi siri kegemaran ramai, Lost, serta terbaru memegang watak Chin Ho Kelly dalam Hawaii Five O. Daniel Dae Kim, 43, semakin menyerlah dan tampak usaha kerasnya berhasil apabila dia menjadi rebutan ramai produser sejak terjun ke bidang ini seawal 1991 lalu.

Buat pertama kalinya singgah ke Malaysia, baru-baru ini, peluang mendekati bapa kepada dua cahaya mata ini berlangsung santai dan terserlah sifat rendah dirinya yang menebal. Jarang sekali bertemu dengan selebriti antarabangsa sepertinya yang tidak perlukan segerombolan pengawal, malah berbual bersamanya, tidak langsung terbit rasa janggal.

Rancak sungguh dia menjawab setiap soalan yang diajukan dan melihat kepada riaknya, Daniel ternyata puas dengan kemuncak kerjaya lakonannya kini. Bagaimanapun, ditanya mengenai perjalanannya untuk menembusi pasaran Amerika, aktor kelahiran Busan, Korea Selatan itu mengakui laluannya tidak semudah yang disangka.

“Memang benar, amat sulit untuk terjun ke pasaran Amerika, apalagi mahu meraih perhatian masyarakat di sana. Prosesnya mengambil masa yang lama untuk sampai ke tahap sekarang dan persaingan itu sentiasa ada setiap masa. Apabila sudah berada di tahap ini, maka di sinilah cabaran lebih hebat kerana mengekalkan kedudukan ini teramat susah.”

“Saya terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat licik di mana bila-bila masa saya mungkin akan jatuh,” kata pelakon yang mengikut keluarga berpindah ke Amerika Syarikat sejak berusia dua tahun.

Sinonim dengan wataknya sebagai polis dalam siri penuh aksi, Hawaii Five O, Daniel dalam diam sebenarnya mengidam watak yang keluar daripada genre aksi.

“Sejak dulu lagi, asal saja pelakon Asia masuk dalam industri Barat, mesti watak stereotaip diberikan. Lihat saja ketika kegemilangan filem Bruce Lee, Jet Li dan beberapa pelakon lagi, semuanya berkisar kisah aksi. Namun, sebenarnya saya tiada masalah dengan perkara itu dan kebetulan saya juga penggemar filem aksi.”

“Bagaimanapun, sebelum ini latar belakang pendidikan saya adalah lebih tertumpu kepada bidang lakonan drama klasikal. Saya belajar lebih kepada komponen sastera seperti Shakespeare dan oleh kerana itu, jika diberikan peluang, saya mahukan watak yang lebih menonjolkan karakter berat.”

“Seperti sebuah filem berjudul Lost In Translation, saya amat mengagumi keseluruhan konsep cerita itu. Jalan ceritanya begitu bagus dan ada beberapa watak di dalamnya yang saya benar-benar teringin untuk lakukan,” luah aktor yang tersenarai dalam 100 Pelakon TV Lelaki Seksi 2011 itu.

Sejak mengikat komitmen dengan siri terbarunya itu, meskipun jadual penggambarannya padat, namun Daniel mengakui disebabkan siri itu dia dan pelakon lain semakin rapat.

“Alex, Scott dan Grace hadir dengan kelainan tersendiri. Jadi, setiap kali penggambaran, ada saja perkara baru yang kami kongsi bersama dan perkara itu merapatkan lagi kami. Bukan saja keintiman itu disalurkan kepada lakonan kami semata-mata, malah setiap kali ada masa rehat pun kami duduk dan bergurau bersama,” tambahnya.

Pada 2 Julai lalu, episod penamat siri ini ditayangkan di saluran AXN di mana Chin Ho (Daniel) diuji dengan hebat selepas isterinya, Malia ditembak tanpa sempat menyelamatkannya. Sebelum itu, Chin Ho mendapat ugutan daripada Delano yang memaksanya membebaskan dia dari penjara.

Delano juga memberi pilihan kepada Chin Ho sama ada mahu menyelamatkan Kono yang dijadikan tebusan dan dikurung dalam sebuah bot ataupun mempertaruhkan nyawa Malia. Malangnya, bukan saja menyaksikan kematian isterinya di pangkuan, rakannya Kono pula dibuang ke laut dalam keadaan terikat sebelum lemas.

Sementara itu, pada 14 dan 15 Julai ini, jangan lupa saksikan rancangan Daniel Dae Kim Centric Marathon bermula jam 3.30 petang hingga 8 malam iaitu segmen bagi setiap episod yang menunjukkan aksi lasak Daniel sepanjang musim pertama siri ini.

Sumber : myMetro

Advertisements