Belgium, Ghana dan Tanzania antara 76 sertai Tilawah al-Quran Antarabangsa

image

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Belgium, Ghana dan Tanzania akan menghantar wakil masing-masing pada majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ke-55, yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dari Jumaat ini hingga Khamis depan.

Enam puluh qari dan qariah dari 76 buah negara akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada majlis itu yang bertemakan ‘Al-Quran: Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah.’

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata tema ini memberi signifikan yang besar terutama kepada umat Islam bahawa dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber panduan mampu menjana ketamadunan ummah yang unggul, modal insan berkualiti serta kompeten dalam urusan dunia mahupun akhirat.

Beliau berkata Malaysia akan diwakili qari dari Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali dan qariah dari Kuala Lumpur, Che Aminah Che Awang yang muncul johan qari dan qariah peringkat kebangsaan yang berlangsung bulan lepas.

Othman berkata selain bacaan al-Quran, majlis tilawah akan diserikan dengan persembahan nasyid Raihan, Hijjaz, persembahan daripada program realiti Adik-adikku serta kuiz al-Quran untuk pengunjung.

Beliau berkata Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dijadual merasmikan tilawah manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. – Bernama

Advertisements