Lelaki Juga Ingin Dimengerti

image

‘‘Walaupun aku miskin janganlah sampai aku ditinggalkan, walaupun aku tak kacak tidak perlulah aku dihina”, inilah di antara situasi yang sering dilalui lelaki.

Pelbagai alasan dilempar apabila kamu mula bosan kepadanya. Apa kata kamu amalkan konsep ‘terima seadanya’ dalam hubungan kamu itu. Lagipun kamu bukannya puteri raja untuk memilih yang elok sahaja. Ayuh pelajari cara menghargai si jejaka!

1. Fahami Lelaki
Fahamilah lelaki sebaiknya. Mereka tidak mahu kamu mengubahnya menjadi seperti apa yang kamu inginkan. Mereka puas apabila kamu menerima diri mereka seadanya. Asalkan sikapnya masih rasional terhadap landasan agama dan budaya itu sudah kira sempurna. Usah jadikan si dia seperti pelakon Hollywood kegemaranmu!

2. Menghormatinya
Lelaki akan menghormati wanita sekiranya kamu tahu bertolak ansur kepadanya. Sedarlah walaupun kamu memberi hormat buatnya, tidak jatuh sedikit pun maruahmu malah kamu akan lebih dihargai.

3. Sanggup Memberi
Asyik si jejaka sahaja yang mengeluarkan wang! Kini tiada lagi istilah segalanya lelaki yang tanggung, sebaliknya kamu perlu memahaminya dengan berkongsi setiap perkara. Tidak salah berkongsi dalam menjalani kehidupan.

4. Berinya Lebih Kepercayaan
Sekiranya kamu tidak mempercayai lelaki, janganlah mengharap si dia juga mempercayai kamu. Hidup ini meminta pada yang ada, memujuk pada yang sayang. Oleh itu bertindaklah secara matang sekiranya ingin cemburu dan berilah si dia kepercayaan agar dirinya rasa disayangi.

5. Kawal Amarah
Perempuan memang terkenal dengan mulutnya yang tajam bak pisau, oleh itu jagalah kata-katamu kerana kadang kala ia mampu menyentuh hatinya. Memanglah si jejaka tidak menonjolkan rasa geramnya di hadapan kamu tetapi sekiranya cintanya beralih pada yang lain, janganlah masa itu baru kamu terdiam.

6. Ikut Kemahuannya
Lelaki akan gembira sekiranya kamu mengikuti setiap kehendaknya. Kamu janganlah asyik melawan sekiranya si dia mahukan belaian kasih sayang dan juga perhatianmu. Jadi berikan secukupnya buat si jejaka.

7. Senyum Bak Bunga
Senyumlah buat si pria, sepenat mana mereka bekerja selepas melihat lirik senyummu sudah tentu segalanya akan berubah sekelip mata. Kamu tidak perlu membayar apa-apa untuk senyum pada lelaki yang dikasihi. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan pada kamu, begitulah juga nikmat yang dirasakan apabila kamu senyum kepadanya. Senyum menyebabkan lelaki lebih sayang kepadamu.

8. Panggilan Manja
Sebagaimana kamu mahukan lelaki memanggilmu dengan nama yang baik dan nada lembut, begitu jugalah lelaki. Dia mahukan kamu memanggilnya secara lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifatmu sebagai seorang gadis.

Sumber : Karangkraf

Advertisements