Islam Tuntut Kebersihan

image

Oleh : Mohd Hassan Adli Yahaya

ALHAMDULILLAH, segala pujian bagi Allah SWT yang mengurniakan kita dengan nikmat-Nya setiap hari. Dengan nikmat-Nya juga pada hari ini kita dapat melaksanakan pelbagai tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan, termasuk diri saya yang sentiasa sibuk memenuhi pelbagai undangan.

Sepantas masa yang berlalu itu juga, sedar tak sedar, saya kini menunggu masa untuk melaksanakan satu ibadat yang dinantikan semua umat Islam. Ibadat ini tersenarai sebagai Rukun Islam Kelima dan pastinya pembaca juga tahu ia berkaitan ibadat haji di Tanah Suci Makkah. Tidak kira di negara kita atau negara lain, kebanyakan jemaah haji mula berangkat ke Makkah bagi melaksanakan ibadat ini, termasuk saya yang dijadualkan ke sana penghujung bulan ini.

Ini juga antara nikmat dan rezeki yang Allah SWT berikan kepada saya kerana pakej ini atas tajaan Salamfone.

Kita tahu bahawa dalam kehidupan manusia, masa adalah elemen paling penting dalam kehidupan. Jadi, terlebih dulu saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi undangan berikutan perlu menguruskan hal bersangkutan haji yang belum disempurnakan.

Bagaimanapun, dalam kesibukan masa, baru-baru ini saya berkesempatan juga berkunjung ke Singapura selama dua hari buat pertama kalinya. Walaupun masa terhad sewaktu di sana, bagi saya ia memberi banyak manfaat kerana antaranya saya dapat berjumpa Imam Muda Mujahid yang turut sama menjayakan program Imam Muda, sekali gus merapatkan hubungan silaturahim yang sememangnya dituntut dalam Islam.

Oleh kerana Mujahid berasal daripada Woodlands, Singapura, beliau antara insan yang banyak membantu sepanjang saya di sana. Sepanjang di sana, perkara paling menarik perhatian saya adalah tahap kebersihan yang wajar dicontohi. Saya dapat melihat betapa masyarakat Singapura sangat menitikberatkan soal kebersihan.

Rakyat dididik dengan hidup berdisiplin dan bagi mereka, menjaga kebersihan adalah perkara wajib. Soal kebersihan dinyatakan dalam pepatah Arab yang menyebut: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”

Selain itu, soal kebersihan dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bersuci (taharah) itu adalah sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, dan Tirmidzi)

Oleh kerana pentingnya menjaga kebersihan, kita dapat melihat kebanyakan buku yang membicarakan soal hukum hakam meletakkan Taharah’ (bersuci) dalam bab pertama.

Malah, hadis riwayat Muslim sendiri menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.”

Hadis ini menguatkan lagi fakta bahawa agama Islam sangat menitikberatkan soal kebersihan. Jika kita melihat sirah Nabi SAW, baginda membasuh sendiri pakaiannya, membaiki sendiri sandalnya dan menjahit sendiri pakaiannya. Betapa mulianya akhlak baginda yang sangat memastikan dirinya sentiasa dalam keadaan bersih.

Jadi, pendakwah (Da’ie) perlu mencontohi akhlak baginda dan menjadi contoh kepada setiap insan yang ingin didakwah (Mad’u). Mad’u akan melihat setiap perilaku Da’ie. Jadi, sebelum berkata mengenai soal kebersihan, Da’ie terlebih dulu perlu memastikan dirinya sentiasa dalam keadaan bersih.

Soal kebersihan diri ini sebenarnya merangkumi banyak perkara. Antaranya bagi memastikan pakaian digunakan bersih dan sentiasa dibasuh untuk mengelak berbau atau punca penyakit. Jadi, penampilan seorang Da’ie sangat penting dalam memastikan Mad’u berasa selesa untuk berdamping. Ini termasuk dalam aspek kebersihan badan, termasuk kuku, misai, janggut dan rambut dijaga dengan rapi.

Selain itu, perkara penting perlu diambil perhatian adalah membabitkan soal kebersihan rumah dan kawasan persekitaran. Kediaman bersih memberi ketenangan, seterusnya menjamin kebahagiaan rumah tangga. Apabila rumah tangga bahagia, insya-Allah, mesej dakwah juga mudah diterima oleh Mad’u kerana apa disampaikan lahir daripada hati yang suci hasil rumah tangga bahagia.

Mungkin apa yang saya nyatakan di sini adalah perkara biasa, jadi saya tidak mahu bercakap panjang lebar mengenainya. Cuma sebagai Muslim, soal kebersihan tidak boleh dipandang remeh, kerana kebersihan sangat dititikberatkan dalam agama Islam.

Walaupun dua hari di Kota Singa, saya bersyukur ia membuka mata serta minda saya dengan lebih luas tanpa melupakan pepatah Melayu berbunyi: “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.”

Apa pun, saya harapkan perjalanan dan urusan saya di Singapura akan meninggalkan kesan baik kepada Muslim di sana, seterusnya ia dapat diamalkan sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “… dan Kami tuliskan segala yang mereka kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catatkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata.” (surah Yasin ayat 12)

Umat Islam di negara kita boleh dijelaskan sebagai masyarakat Muslim yang sangat bertuah. Ini kerana berdasarkan lawatan ke Singapura serta Vietnam, baru-baru ini, kita menikmati pelbagai kemudahan dan kurniaan yang sememangnya datang daripada Allah SWT dan sukar didapati di sana.

Jika di Singapura atau Vietnam, Muslim adalah kelompok minoriti dan urusan mendapatkan mendapatkan makanan yang disahkan halal sangat sukar. Oleh itu, mari kita sama-sama melihat dan merenung kembali keadaan kita pada masa kini berbanding masyarakat di negara lain. Mudah-mudahan, ia dapat membuka mata dan hati betapa kita patut mensyukuri setiap nikmat yang kita dapati dan jangan terlalu seronok dengannya hingga lupa kepada Allah SWT.

Sumber : Kalam Imam Muda – MyMetro

Advertisements