Irma Dan Redza, Saling Melengkapi

image

SEMUA insan bergelar manusia ingin mencintai dan dicintai. Bagaimanapun, ada cinta agak lama baru dimiliki dan tak terkecuali yang terjalin begitu pantas. Bagi pasangan Irma Hasmie Ibrahim, 30, dan  suaminya, Redza Syah Azmeer Datuk Mohd Radzuan, 31, nyata cinta di antara mereka berputik tanpa diduga.

Niat mengerjakan umrah di Tanah Suci turut membuka ruang buat mereka mengenali satu sama lain. Bahkan, selepas lima bulan menjalin hubungan, kini Irma sah menjadi milik Redza selamanya.

Pasangan sejoli ini selamat diijabkabulkan di Kompleks Perbadanan Putrajaya, petang Jumaat lalu. Sesuci warna putih yang menjadi pilihan mereka, pihak Irma juga pada awalnya merahsiakan jumlah wang hantaran diterima. Namun, tatkala pertanyaan itu diajukan kepada Redza, ahli perniagaan kacak ini memaklumkan keluarga mentuanya tidak meminta langsung jumlah wang hantaran berkenaan.

“Jadi, memandangkan ia adalah pemberian ikhlas buat Irma, saya menetapkan jumlah sebanyak RM33,333,33. Malah, Irma sendiri pun tidak mengetahuinya. Kini, tiada apa yang lebih membahagiakan saya selain bersyukur dapat memperisterikan Irma sebagai teman hidup. Dia melengkapi hidup saya.”

“Irma memiliki ciri-ciri isteri yang saya inginkan kerana dia baik, penyayang dan hormat pada orang tua. Bahkan, perjalanan  jodoh kami juga lancar seperti dirancang. Oleh itu, semoga jodoh ini akan terus diberkati Allah yang sudah mempertemukan kami ketika menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci,” katanya.

Menyentuh soal karier Irma sebagai insan seni, Redza berkata, dia menerima kerjaya diceburi isterinya itu. Malah, sebagai suami, dia tidak akan menghalang Irma untuk terus aktif sebagai pengacara mahupun pelakon. Katanya, apa yang penting, Irma tahu membahagikan masa antara keluarga dan karier.

Berbicara mengenai bulan madu, Redza berkata, buat masa sekarang, semuanya masih dalam perbincangan. Ada beberapa lokasi yang menjadi pilihan tetapi belum diputuskan kerana dia dan Irma sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

Katanya, mereka turut merancang untuk ke Tanah Suci bersama. Kata Redza, mereka juga ada memikirkan sama ada mahu mengerjakan umrah atau haji apabila ke Tanah Suci nanti. Katanya, perbincangan teliti akan dibuat lebih dulu.

Redza juga berkata, dia dan Irma tidak merancang bila mereka mahu menimang cahaya mata kerana bergantung pada rezeki.

Bagi Irma pula, dia bukan saja sudah bersedia berstatus isteri tetapi juga mahu bergelar ibu. Katanya, sama seperti Redza, dia menerima dengan hati terbuka sekiranya Tuhan segera memberikan zuriat kepada mereka.

Kata Irma, anak adalah anugerah Allah dan sememangnya menjadi impian pasangan suami isteri. “Harapan kami, supaya rumah tangga yang dibina ini akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Saya akan sentiasa berdoa kepada Allah supaya dapat menjadi isteri bertanggungjawab kepada Redza dan ibu yang baik kepada anak-anak kami. Malah, saya juga berharap Tuhan memberikan kami zuriat yang baik.”

“Apapun, saya gembira Allah mempertemukan jodoh bersama Redza. Saya menerima kehadirannya dalam hidup ini dengan hati terbuka kerana sedar kami mempunyai misi yang sama. Kini, kami lebih menjurus ke arah akhirat dan saya yakin Redza mampu memikul tanggungjawab untuk membimbing keluarga kami,” katanya.

Menurut Irma, dia juga teruja untuk menjalani proses percintaan selepas kahwin. Katanya, inilah takdir dirinya yang sudah ditetapkan Allah apabila menyulam cinta dengan suami tersayang sebaik saja bergelar isteri dan berlandaskan ikatan yang sah. Akuinya, sukar untuk dia menjangkakan bagaimana perjalanan itu nanti.

Menyorot kisah pertemuan mereka, Irma berkata, dia bertemu suaminya ketika mengerjakan umrah pada 14 Februari lalu di Makkah. Pada awalnya, dia berkenalan dengan ibu mentuanya dan kemudian baru dipertemukan dengan Redza. Begitu pun, ketika pertemuan makan malam diatur itu, mereka tak banyak berbicara.

Irma berkata, ketika itu, dia dan beberapa teman diajak untuk menikmati makan malam bersama. Namun, sebelum pulang ke tanah air, mentuanya ada membisikkan ke telinga bahawa mereka sekeluarga mahu menjodohkan dia dan suami.

Malah, tidak lama selepas itu, keluarga Redza datang untuk merisik. Sebaik proses merisik, pasangan pengantin ini terus mengikat pertunangan pada 24 Mac lalu.

Kurang dari tiga bulan majlis pertunangan itu dilangsungkan, Irma dan Redza selamat bernikah dengan diwalikan bapa Irma, Ibrahim Othman di hadapan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Ustaz Mohd Redha Ahmad.

Majlis resepsi mereka berlangsung di Dewan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), malam Ahad lalu dengan tema ‘vintage’ moden. Setia mengekalkan tema putih pada majlis resepsi itu, kira-kira 1,500 tetamu di kalangan keluarga, kenalan, sahabat sekolah, rakan artis dan wakil media hadir meraikan persandingan Irma dan Redza.

Ramai juga rakan artis yang kelihatan meluangkan masa hadir meraikan pasangan raja sehari itu antaranya Awal Ashaari dan isteri, Scha Al-Yahya, Rashidi Ishak serta Vanidah Imran, Tam Suhaimi, Sari Yanti dan Rabecca Nur Islam.

Sumber : myMetro

Advertisements