Fabregas Bidas Kritikan Terhadap Pasukan Sepanyol

image

KIEV: Cesc Fabregas tidak mahu kritikan terhadap Sepanyol sebagai pasukan yang membosankan merosakkan hari paling indah hidupnya.

Bekas kapten Arsenal itu menjadi perhatian di Kiev ketika Sepanyol mudah menewaskan Itali 4-0 pada final Euro 2012 untuk muncul pasukan pertama memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut.

Ia juga kemenangan terbesar dalam sejarah final kejohanan itu sekali gus mengukuhkan status La Roja sebagai salah satu pasukan kebangsaan terbaik di dunia.

Namun kejayaan itu hadir ketika gaya permainan unik Sepanyol, tiki-taka dikritik hebat kerana lebih digunakan untuk menghalang pasukan lawan menguasai bola berbanding menyerang.

Pandangan itu disuarakan bekas pengurus Fabregas di Arsenal, Arsene Wenger tapi Fabregas nyata tidak sependapat dengan kenyataan itu.

“Mereka yang menganggap permainan kami membosankan, saya rasa mereka tidak faham permainan bola sepak. Ini antara hari terbaik hidup saya.”

“Tiga trofi kejohanan utama berturut-turut tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan dalam sejarah bola sepak.”

“Saya tidak fikir kami sedia melihat apa yang sudah kami lakukan ketika ini,” katanya.

Jaringan babak pertama menerusi David Silva dan Jordi Alba meletakkan Sepanyol dalam keadaan selesa.

Dan ketika Thiago Motta dikeluarkan kerana kecederaan hamstring selepas empat minit beraksi sebagai pemain simpanan, Itali terpaksa bermain dengan 10 pemain pada baki setengah jam permainan. Ia membolehkan Sepanyol menambah jaringan menerusi Fernando Torres yang menyumbat gol ketiga sebelum mencipta gerakan untuk rakan sepasukannya di Chelsea, Juan Mata mengesahkan kemenangan bergaya. – Agensi

Sumber : MyMetro

Advertisements