EURO 2012 Antara Pengalaman Terhebat Dalam Empat Tahun Buat Casillas

image

KIEV: Selepas berjaya menjulang trofi Euro 2012 sekali gus melakar sejarah kapten pasukan pertama memenangi tiga kejuaraan utama secara berturut-turut, penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas berkata, tempoh empat tahun lalu yang dilaluinya sangat bermakna.

Pemain Real Madrid berusia 31 tahun itu tidak berdepan tugas sukar ketika bertemu Itali selepas La Roja mencatat kemenangan 4-0 sekali gus kemenangan terbesar dalam sejarah kejohanan itu serta mencipta sejarah pasukan pertama berjaya mempertahankan kejuaraan.

Kejayaan terbaru itu menambah kegembiraan mereka selepas merangkul Piala Dunia 2010 dan Casillas nyata amat gembira.

“Saat ini begitu indah. Gol kedua Jordi Alba mengubah arus perlawanan,” katanya.

“Saya melalui tempoh empat tahun yang menakjubkan. Anda mungkin fikir kemenangan 4-0 ke atas Itali mudah tapi hakikatnya, ia hasil peningkatan permainan sepanjang berlangsungnya saingan Euro.”

“Memang ada yang akan mengkritik kerana kami meletakkan sasaran tinggi dan kritikan ini akan berlaku sekiranya kami mempamerkan aksi mengecewakan peminat.

“Kami membariskan pemain terbaik dan menggunakan sepenuhnya pengalaman mereka. Pemain Itali pula agak kepenatan. Kini kami akan meraikan kemenangan ini bersama-sama,” katanya.

Casillas tidak melepaskan sebarang gol di peringkat kalah mati tiga kejohanan utama yang dimenangi Sepanyol. – AFP

Sumber : MyMetro

Advertisements