Balotelli Kecewa Dengan Aksi Final EURO 2012

image

UKRAINE: Linangan air mata Mario Balotelli menceritakan kekecewaannya selepas aksi final Euro 2012, semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu mengharungi perlawanan yang mengecewakan ketika Sepanyol mencatat sejarah meraih kejuaraan kejohanan utama ketiga berturut-turut di pentas antarabangsa.

Malangnya selepas perlawanan, perkara tidak diingini berlaku sekali lagi apabila penyerang itu bertelagah dengan staf bilik persalinan Itali.

Pemain yang mudah naik angin itu mengharungi kejohanan yang hebat hingga detik itu dan paling diingati adalah ledakan yang membawa Itali ke final dengan dua gol menakjubkan ketika menyingkirkan Jerman.

Bagaimanapun selepas wisel penamat di Kiev, pemain Manchester City itu berjalan terus ke bilik persalinan. Dia melawan apabila staf kanan cuba menahannya dan menolaknya.

Selepas beberapa minit, Balotelli kemudian dilihat kembali di tengah padang. Dia kemudian menerima pingat namun menangis sebaik saja kembali ke padang.

Jurulatih Itali, Cesare Prandelli berkata, pemainnya akan menjadi semakin kuat menerusi pengalaman memilukan itu.

“Saya memberitahu Mario akan ada pengalaman seperti ini dia perlu tangani dan menerimanya,” kata Prandelli.

“Anda terpaksa mengaku dan berkata lawan lebih baik dan belajar menerima kekalahan.”

“Namun anda perlu pastikan pengalaman ini menjadikan anda lebih mantap. Perkara seperti ini sudah berlaku kepada ramai pemain dan akan berulang, namun inilah asam garam sukan.” – Agensi

Sumber : MyMetro

Advertisements