UEFA Undang Kemarahan Penyokong Jerman

image

BERLIN: Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) mengundang kemarahan peminat bola sepak Jerman kerana membenarkan penggunaan visual yang dirakam lebih awal ketika siaran langsung Kejohanan Eropah.

Visual peminat Jerman menangis selepas gol kedua Mario Balotelli ketika Itali menewaskan Jerman 2-1 pada separuh akhir minggu lalu, didakwa stesen penyiar Jerman, ARD adalah rakaman awal wanita negara itu menangis ketika menyanyikan lagu kebangsaan.

Isu itu mula timbul selepas wanita itu menerima e-mel daripada rakannya di rumah, bertanya mengapa wanita itu terlalu sedih kerana masih ada sejam tempoh perlawanan untuk diteruskan.

“Kami terkejut. Gambar itu tidak dapat diterima terutamanya selepas kami membuat aduan kepada Uefa beberapa hari sebelumnya,” kata Ketua Pengarang Euro 2012 ARD, Joerg Schoenenborn kepada akhbar tempatan.

“Kami akan terus berusaha mengatasi masalah ini.” Kali pertama, ARD meminta Uefa memberi penjelasan mengenai gambaran jurulatih Jerman, Joachim Loew yang bermain bola dengan seorang kanak-kanak lelaki pada perlawanan peringkat kumpulan menentang Belanda kerana insiden itu sebenarnya berlaku sebelum perlawanan berlangsung.

“Sudah tentu mereka cuba memanipulasi perkara sensitif yang sepatutnya ditapis kerana kami tidak boleh menerimanya,” kata Schoenenborn. – AP

Sumber : Metro Online

Advertisements