Semua Negara Mampu Anjur EURO: Platini

image

KIEV: Poland dan Ukraine membuktikan siapa saja boleh menganjurkan Kejohanan Euro dan perkara itu diakui Michel Platini.

Presiden Uefa itu mendedahkan pelan radikal Euro 2020 semalam yang menyaksikan banyak pembaharuan mengenai konsep penganjurannya.

“Ini mungkin mengejutkan anda,” kata Platini yang memberi amaran kejohanan berprestij Eropah itu mungkin mengejutkan segelintir daripada 53 ahli gabungan Uefa.

“Kami mungkin hanya mempunyai satu negara dengan 12 bandar tuan rumah atau mempunyai 12 atau 13 bandar di seluruh Eropah,” katanya.

Uefa dijadual mengumumkan tempoh pembidaan Euro 2020 dan calon dijangka membentangkan pelan 12 stadium moden untuk 24 pasukan bagi jumlah 51 perlawanan keseluruhan dalam sebulan.

Diadakan setiap empat tahun sekali, Kejohanan Euro adalah kedua popular di peringkat global selepas Piala Dunia dan sehingga 12 tahun lalu dianjurkan oleh satu negara. Bagaimanapun, tiga daripada empat edisi terakhir dianjur tuan rumah bersama dengan Poland dan Ukraine menganjurkan Euro 2012 di lapan bandar raya.

Tuntutan perbelanjaan yang besar memberikan cabaran dengan Uefa menambah bilangan 16 pasukan kepada 24 pasukan bermula Euro 2016 di Perancis.

Pembinaan dan pengubahsuaian stadium perkara utama yang diberi perhatian. Pasukan, pegawai, penaja dan penyokong pasti membanjiri venue dengan pengangkutan dan penginapan perlu diambil kira. Penyiar dan wartawan meminta sistem telekomunikasi lebih moden untuk menyalurkan maklumat ke setiap negara.

Mengulas cabaran itu, Uefa mungkin terpaksa membuat keputusan menggalakkan tiga negara menjadi penganjur bersama.

Ireland, Scotland dan Wales yang tidak berkongsi persempadanan secara amnya menunjukkan minat. Selepas Platini mengumumkan cadangan luar biasa itu kelmarin, semuanya ada kemungkinan.

Ketua badan induk bola sepak Eropah itu berkata, satu keputusan akan dicapai pada Disember atau Januari tahun depan bagi mencari jalan melaksanakan idea itu. Jawatankuasa Eksekutif Uefa yang dipengerusikan Platini menetapkan Mei 2014 sebagai tarikh akhir bagi membuat keputusan lokasi Euro 2020. – AP

Sumber : Metro Online

Advertisements