Johan Asa’ri Tak Mudah Jatuh Cinta.

image

TUTUR katanya tenang begitu tersusun. Meskipun dia nampak seperti seorang yang lincah dan lasak, Johan Ariff Asa’ri seorang jejaka yang suka merendah diri dan sentiasa menghormati orang.

Watak Botak menerusi drama siri Juvana yang berjaya meletakkannya jauh di gelanggangnya sendiri, anak seni berusia 25 tahun ini sentiasa bersyukur dan menyifatkan rezeki yang diberikan adalah berkat doa dan kesungguhannya yang ingin mengejar impian menjadi seorang pelakon yang disegani satu hari nanti.

Bagaimanapun, adat dunia hiburan, simbolik kepada populariti yang begitu cepat hinggap padanya, Johan tidak pernah terlepas daripada spekulasi dan kontroversi. Selari dengan pujian lakonannya yang bersahaja, pelakon kacak kelahiran Pulau Pinang ini dikaitkan dengan beberapa pelakon yang digandingkan dengannya.

Episod ‘mengaku dan menafikan’ dengan Izreen Azmindar selepas mula intim dalam drama Juvana. Kemudian, aktres jelita ketika itu berlakon dengannya, Fasha Sandha dan kini dikatakan akrab dengan heroin drama Pelangi Kasihnya, Nabila Huda.

Persoalannya, adakah Johan mudah jatuh cinta dengan setiap pelakon wanita yang digandingkan dengannya? Kini terlintas pula persepsi kononnya bintang.muda ini dikatakan romeo yang gemar sekali menyemai cinta di lokasi penggambaran hingga terbawa-bawa di dunia sebenar.

“Pernah juga saya terdengar kata-kata begitu, namun semuanya saya anggap sekadar permainan dunia seni. Inilah harga yang perlu saya bayar dan rasa pahit kalau ditelan. Namun untuk saya marah atau kecewa tidak sekali kerana apa yang penting, saya sentiasa bersyukur dengan peluang dan rezeki yang diberikan kepada saya.sejak.menjadi pelakon setahun ini.”

“Adat dalam dunia seni dan diri saya sendiri sebagai seorang lelaki, ada kalanya sikap mudah.mesra itu disalah erti dan kemudian timbul pula spekulasi yang akhirnya menjerat diri sendiri. Saya.banyak belajar dan.segala apa yang pernah berlaku itu saya lihat sebagai pengalaman yang akan mematangkan saya dalam hidup.”

“Namun tidak pula saya membenci atau menafikannya kerana jujurnya daripada hati,.saya begitu bertuah dipertemukan dengan setiap wanita ini kerana mereka adalah sahabat yang pernah mengajar dan masih lagi setia menemani saya untuk menghadapi pelbagai dugaan. Saya sendiri banyak menjadikan mereka inspirasi yang menyuntik rasa yakin dan percaya dalam diri.”

“Bagaimanapun, gelaran ‘Mat.Romeo’ atau pandangan kononnya saya mudah jatuh cinta itu mungkin hanya sekadar gosip dan gurauan kerana saya bukanlah begitu. Saya hanya seorang pendatang baru yang inginkan ramai kawan dan berusaha untuk memenuhi permintaan banyak pihak. Namun jika apa yang berlaku itu disalah erti, saya akan mencatur langkah berbeza,” katanya tersenyum.

Ya, semua itu sekadar pandangan dan persepsi. Namun persoalannya, tidakkah terlintas rasa bimbang dan gusar kepada pelakon drama Bunga-Bunga Syurga, Kau Untukku, Tasbih Putih, Kesuma Jiwa, Ajaibnya.Cinta dan Janjiku Kepada Al-Walid ini akan rasa mual di kalangan peminat? Mana tidaknya, baru setahun jagung mencipta nama, sudah banyak pula kisah cinta dan sisi peribadinya yang dijaja kepada umum.

Bagaimanapun, pelakon yang baru saja dinobatkan sebagai Artis Baru Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 ini optimis dan hanya memandang ke depan.

“Alhamdulillah, saya belum lagi dikritik teruk mengenai perkara ini walaupun memang terdetik dalam hati rasa bimbang pada awalnya. Namun apabila saya semakin lama membina pengalaman, saya lihat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya bukanlah mereka yang mudah menjatuhkan hukum, sebaliknya masing-masing faham akan situasi dan status saya.”

“Saya bersyukur kerana peminat adalah teman yang paling setia memberi sokongan dan semangat kepada saya terutama menerusi laman sosial twitter. Jika saya rasa sunyi atau sugul, ini saja yang dapat membuatkan saya tersenyum dan kembali bersemangat iaitu meneliti semua komen dan mesej daripada mereka.”

“Soal mual atau menyampah dengan segala cerita yang ditimbulkan ini bukanlah perkara pertama yang perlu saya fikirkan, sebaliknya apa yang penting adalah nawaitu kerana sejak awal lagi membabitkan diri dalam dunia seni ini, saya sudah berjanji dan memasang niat untuk memberikan yang terbaik bagi membina bakat yang ada.”

“Segala pengalaman, peluang, kepercayaan dan rezeki yang diberikan kepada saya ini perlu dibayar semula. Saya harus memberikan yang terbaik dan terus belajar untuk tampil dengan lebih sempurna buat peminat dan mereka yang menyokong,” katanya lagi.

Johan yang juga graduan Kaunseling dari Kolej Universiti Islam Melaka dan pernah mendapat pendidikan kelas tahfiz selama dua tahun di Batam dan Jambi, Indonesia baru saja pulang dari Pulau Tioman bagi mengikuti kursus menyelam selama lima hari. Turut bersamanya ketika di sana adalah teman tapi mesranya yang juga pelakon popular, Nabila.

“Memang kami berada di sana bersama tetapi Abil mengambil pakej penyelamat dan saya pula baru kursus menyelam. Tapi kalau ditanya mengenai hubungan kami berdua, ia hanya sekadar sahabat rapat. Abil memang teman yang paling rapat dengan saya ketika ini kerana perangai dan keikhlasannya yang menyenangkan saya.”

“Namun semuanya masih di fasa mengenali antara satu sama lain kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan tanggungjawab. Jika ada jodohnya nanti, saya tidak akan menyembunyikannya,” katanya berseloroh.

Menyentuh soal perkembangan terbarunya, Johan yang bakal muncul dalam filem Juvana dengan memegang watak yang sama, Botak, mengakui rezeki melimpah-ruah dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan.

Baru saja selesai penggambaran untuk drama 13 episod berjudul Udin Glamor Balik Kampung bersama Nabila dan Memey Shuhaiza, Johan terus berlari ke lokasi penggambaran filem Tokan dan Pencinta.

Terbaru, selepas berpeluang bercuti seminggu, pelakon berbakat besar ini akan berangkat pula ke Makkah bagi menjalani penggambaran drama Shadat Cinta arahan Erma Fatima.

“Alhamdulillah tawaran dan peluang tidak berhenti buat saya. Meskipun masih baru, namun banyak pihak sudah menaruh kepercayaan kepada saya. Itulah paling istimewa buat seorang pelakon baru seperti saya kerana pihak produksi sudahpun yakin dengan bakat dan komitmen saya dalam membawakan watak yang diberi.”

“Selepas filem Juvana, saya diberi peluang untuk melakonkan watak pembunuh upahan, Rano dalam filem Tokan yang saya sifatkan berbeza dan begitu kuat mainan emosinya. Dalam filem Pencinta, gembira diberi peluang bergandingan dengan idola saya, Faizal Husin di bawah arahan Khir Rahman. Saya melakonkan watak Amir, seorang gengster yang kemudiannya berubah.”

“Shadat Cinta pula sebuah drama yang amat saya nantikan kerana berpeluang untuk ke Tanah Suci bersama semua tenaga produksi dan beberapa pelakon lain termasuk Neelofa. Plot ceritanya begitu menarik dan pastinya peminat akan melihat sebuah lagi perwatakan berbeza daripada saya,” katanya yang bakal ke lokasi penggambaran filem Naga pada September depan.

Harapan dari jauh BAGAI bulan jatuh ke riba, sekali lagi nama Johan tersenarai dalam Anugerah Stail EH! bagi kategori Selebriti Harapan Pilihan yang akan berlangsung pada 4 Julai ini di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya. Selepas menerima pengiktirafan di ABPBH yang lalu, Johan sekali lagi dipertaruhkan untuk kategori ini pula yang disifatkannya sebagai rezeki dan sokongan peminat.

“Alhamdulillah saya diberi penghargaan sekali lagi untuk Anugerah Stail EH! pula. Saya bersyukur dan rasa bertuah dengan pencalonan ini kerana setidak-tidaknya ada pihak yang nampak akan kehadiran saya ini,” katanya.

Namun atas komitmen kerja dan terikat dengan jadual lakonan, Johan tidak dapat menghadiri majlis ini kerana sudahpun berada di Tanah Suci untuk penggambaran drama Shadat Cinta.

Hanya mengharapkan yang terbaik, Johan bagaimanapun tidak sekali-kali meletak harapan, sebaiknya diberi peluang dicalonkan pun sudah memadai baginya.

“Kalah atau menang bukan lagi persoalannya kerana pada saya, nama berada di kelompok lima yang terbaik itu pun sudah memadai dan memberikan saya rasa puas dan bangga. Namun l jika diberi rezeki untuk menang, saya bersyukur dan berterima kasih atas sokongan peminat dan pihak penganjur yang nampak akan kehadiran saya.

“Namun, saya memohon maaf kerana tidak dapat hadir memeriahkan majlis disebabkan tanggungjawab kerja. Saya akan tetap memberi sokongan dari jauh dan mendoakan agar majlis itu berjalan dengan sempurna,” katanya.

Sumber : MyMetro

Advertisements