EPL Gagal Lahir Bintang

image

KIEV: Kapten Itali, Gianluigi Buffon mendakwa Liga Perdana Inggeris tidak lagi menjadi penyumbang kepada skuad kebangsaan England.

Ketika Azzurri melakukan persiapan menentang Sepanyol di final Euro 2012 di Kiev, pemain England pula bercuti meskipun hanya tewas sekali, iaitu pada suku akhir.

Sejak dua hari lalu, timbul perdebatan mengenai pemain berusia 37 tahun, David Beckham, sama ada patut dibenarkan menamatkan kerjayanya bersama skuad kebangsaan pada Sukan Olimpik bersama pasukan Britain atau sebaliknya.

Buffon yang bakal menambah satu lagi trofi kejohanan utama antarabangsa selepas Piala Dunia 2006, menganggap jawapan untuk mengatasi masalah itu ada di Liga Perdana yang hanya berminat menarik pemain terbaik dunia. Kapten Itali itu menganggap liga itu sebagai yang terbaik di dunia dan tidak menolak akan bermain di England andai Manchester City menawarkan gaji lumayan untuk berpindah dari Serie A.

Namun, Buffon berkata, itu bukan cara terbaik demi kebaikan pasukan kebangsaan.

“Mempunyai liga kompetitif tidak semestinya memiliki barisan pemain kompetitif,” katanya.

“Sejak beberapa tahun lalu, Liga Perdana Inggeris menawarkan bola sepak terbaik dan aksi berkualiti. Kuasa belinya juga besar kerana mereka mampu membeli mana-mana pemain dari seluruh Eropah dan dunia.”

“Hal ini boleh berlaku di Sepanyol dan Itali namun liga England tidak mampu memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan. Bola sepak kini bersifat global, ia bertambah sukar dan makin sedikit pemain tempatan diberi peluang beraksi dalam pasukan liga utama.”

Sumber : Agensi

Advertisements