Bali, Pilihan Destinasi Bulan Madu Akma AF3

image

SEPULUH tahun lalu mereka hanyalah sekadar kawan biasa yang dikenalkan oleh teman, kemudian terputus hubungan dan bertemu semula di laman sosial twitter setahun lalu sehinggalah perasaan itu menimbulkan bibit cinta, sekali gus mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Tanggal 30 Jun bersamaan Sabtu lalu, bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras, di sini, Asiahtunakma Abdullah, 27, atau.Akma AF dan pasangannya, Eksekutif Petronas, Farih Hamshi Datuk Mohamad Fatmi, 28, bersatu sebagai suami isteri yang sah.

Dengan sekali lafaz, Akma yang dinikahkan sendiri ayahnya, Abdullah Abdul Rahim disaksikan Jurunikah dan Cerai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohammad gembira apabila impiannya bergelar seorang isteri menjadi kenyataan.

Ditemui selepas majlis pernikahan, Akma dan suami kelihatan menawan dalam persalinan serba putih di samping sembilan hantaran berwarna oren dibalas tujuh daripada pihak lelaki semuanya berwarna merah jambu.

Menurut Akma, hanya rasa gembira yang terbit di sanubarinya ketika ini kerana kekecewaan dalam percintaan sebelum ini mengubat hatinya saat Farih melamarnya ketika berada dalam kereta untuk pulang ke rumah.

“Saya terkejut ketika bersembang dengan Farih yang terus menyatakan hasrat melamar dan menjadikan saya suri hidupnya. Ketika itu saya terkedu dan tidak tahu hendak berkata apa. Namun, jauh di sudut hati saya terharu dan sangat gembira kerana melihat kesungguhan yang ditunjukkan olehnya.”

“Selepas itu, kami terus bertunang dan kini menjadi suami isteri yang sah. Mungkin disebabkan sudah lama mengenali Farih walaupun hanya dari jauh waktu itu, saya tahu dia adalah lelaki yang tepat sebagai suami,” katanya.

Akma berkata, segala petua yang diberikan ibunya akan dipraktikkan untuk menjadi seorang isteri yang baik dan setia kepada suami.

Sementara itu, Farih ketika ditemui menyatakan rasa syukur kerana impian untuk menjadikan Akma isterinya termakbul.

“Alhamdulillah, laluan kami untuk menjadi suami isteri di permudahkan Tuhan. Keluarga kedua-dua belah pihak juga merestui hubungan kami kerana itulah kami tidak mengambil masa yang lama untuk disatukan. Sikap matang, bijak berkomunikasi dan menghiburkan hati yang ditunjukkan Akma benar-benar meyakinkan saya dialah wanita yang saya cari selama ini,” katanya.

Pasangan itu juga tidak merancang soal anak dan sudah bersedia jika ditakdirkan Akma hamil dalam tempoh terdekat ini.

Pada majlis pernikahan itu, Akma menerima sebentuk cincin emas putih, mas kahwin RM300 berserta wang hantaran RM15,000. Pihak lelaki turut memberi beberapa barangan lain seperti jam tangan jenama Cyma, kain pasang, kek, set penjagaan diri jenama Channel dan beg tangan jenama Burberry.

Pihak lelaki menerima barangan seperti jam tangan, kasut, kaca mata dan pen, kemeja jenama Burberry, tali pinggang dan cufflink, set wangian Channel, kek dan buah-buahan.

Memilih Bali sebagai destinasi bulan madu, majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok. Pada hari yang sama, kira kira jam 1.30 petang, Akma turut diraikan lebih 1,000 tetamu pada majlis persandingannya yang diadakan di tempat sama.

Memilih persalinan berona putih, Akma turut mendendangkan sebuah lagu khusus buat suami tercinta berjudul Hanya Aku Yang Tahu.

Turut hadir, beberapa rakan artis dari Akademi Fantasia iaitu Rosma, Khai, Fitr, Toi, Rizal dan Aidil. Selain itu, penyanyi Zehra Zambri juga turut hadir.

Sumber : MyMetro

Advertisements