Kisah Seorang Ayah, Anak Dan Seekor Keldai

Assalamualaikum..
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Aku percaya ramai yang pernah mendengarkan kisah ini. Aku tak berapa ingat sangat cerita ni secara lebih terperinci. Apa yang aku ingat tentang moral disebalik kisah ini yang sedikit sebanyak telah meresap ke dalam diri aku..

image

Seperti kebiasaan, seorang petani keluar membawa hasil tanamannya untuk dijual. Itu rutinnya pada setiap minggu. Cuma pada kali ini dia tidak berseorangan. Anak lelakinya yang sedang meningkat remaja ingin pergi bersamanya, dan tanpa banyak bantahan si petani membenarkan.

Perjalanan mereka agak jauh, untuk pergi ke bandar mereka harus melalui beberapa kampung. Si petani telah biasa dengan keadaan itu, namun tidak bagi si anak yang baru pertama kali ikut berdagang. Kerana kasih dan risau anaknya merasa letih sepanjang perjalanan, si petani menyuruh si anak menunggang keldai bersama barang dagangan mereka.

Tibalah mereka di kampung yang pertama. Sebaik mereka lalu dihadapan sekumpulan penduduk kampung itu, mereka mendengar para penduduk berkata..

” Biadap sungguh anak ini membiarkan ayahnya berjalan, sedangkan dia bersenang-senang menunggang keldai. “

Mendengar akan kata-kata itu, si anak kemudian turun dari keldai yang ditunggangnya dan meminta si petani pula menunggang keldai mereka. Si petani menurut tanpa banyak soal dan mereka meneruskan perjalanan.

Tiba di kampung kedua, mereka dicemuh oleh penduduk disana..

” Sungguh si ayah ini tiada berperasaan, dia menunggang di atas keldai dan si anak dibiarkan berjalan, sedangkan bukankah boleh mereka menunggang bersama. “

Mendengar itu, si anak meminta izin dari si petani untuk menunggang keldai bersama-sama. Si petani menurut dan mereka meneruskan perjalanan.

Setiba di kampung ketiga, sekali lagi mereka mendengar penduduk disana mengutuk..

” Sungguh tidak berperi kemanusiaan dua orang lelaki ini, binatang yang sekecil begini di tunggang berdua dengan muatan barang dagangan mereka. Bukankah lebih baik, mereka berjalan sambil membawa barang dagangan mereka dan membiarkan keldai itu tanpa beban. Dan lagi keldai itu keletihan letih. “

Mendengarkan itu, si anak memberi cadangan pada si petani agar menurut seperti yang diperkatakan oleh penduduk di sana. Si petani tersenyum dan mengiyakan sahaja kemahuan si anak. Mereka meneruskan perjalanan..

Akhirnya sampailah mereka ke tempat yang dituju. Kelihatan begitu ramai orang yang datang untuk berdagang dan membeli barang dagangan. Si petani dan anaknya menuju ke tapak yang biasa si petani meletakkan hasil tanamannya untuk dijual. Di sana mereka ditertawakan oleh penjaja lain dan pembeli..

” Kedua orang ini sememangnya bodoh, apalah guna keldai yang dibawa mereka tetapi mereka harus berjalan dan mengangkat sendiri barang dagangan mereka. “

Mendengarkan itu si anak bertanya kepada ayahnya,

” Ayah, mengapa setiap kali apa yang kita lakukan jadi kutukan orang? Mengapa setiap kali ada sahaja yang tidak kena dan tidak berpuas hati dengan apa yang kita lakukan? “

Si petani tersenyum dan berkata kepada anaknya..

” Wahai anakku, inilah lumrah kehidupan di dunia ini. Tidak mungkin kita akan mampu memuaskan hati semua orang. Kerana itu kita harus bijak mengemudi kehidupan ini. Buatlah sesuatu yang kita yakini ianya betul, bukan pada apa yang orang lain ingin kita lakukan. “

Sumber :
Diolah semula dari cerita yang pernah aku dengar sewaktu kecil dulu.. ^^v
Imej, keledai.gif (97.4Kb)

Advertisements