Kasih Ayah Jadi Ganti

Assalamualaikum..
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

image

Sunyi sepi tanpa suara, malam yang sangat dingin memandangkan musim sejuk belum berakhir.

Di atas sejadah cinta ini ku sujud menghadap-Mu Ya Allah dan di sini jualah tempat aku mengadu dan menagih kasih yang pasti. Air mata ini bercucuran lagi, hati ku bergelodak menanggung beban perasaan yang tak mampu ku luahkan.

Saat ku menadah tangan menagih simpati dan keredhaan-Mu, mendoakan kesejahteraan dan keampunan buat ayah ku, aku terdiam lagi cuba menahan sebak di dada. Namun apakan daya aku juga manusia biasa, biarlah air mata ini mengalir buat pengubat rindu. Dalam hati kecil ku, ku mohon ketabahan untuk meneruskan hidup.

” Ya Allah amat perit untuk ku telan ujian-Mu ini. “

Selesai menunaikan solat, aku diam sejenak cuba mentafsir atas segala ujian yang aku hadapi. Sedar dan pasti akan hikmah pemergian ayah yang telah pergi hampir tiga bulan. Banyak hikmah yang telah Allah berikan buat keluarga kami. Segala perubahan yang berlaku adalah yang terbaik. Alhamdulillah atas segala hikmahnya dan aku redha.

Tuppp!!!!…

Tiba-tiba hatiku bagai disentap kuat. Aku menangis lagi.

” Ya Allah betapa Kau Maha Mendengar dan Maha Mengasihi hamba-Mu ini. Kenapa??? “

Sebenarnya fikiranku menerawang mengingat kembali saat aku berdoa di hadapan Kaabah semasa mengerjakan umrah pada Ramadhan tahun lepas. Bila difikirkan kembali, segala apa yang berlaku adalah berkaitan dengan pemergian ayah dan segala hikmah yang berlaku selepas itu. Sememangnya kita tahu, banyak tempat yang termakbul doa. Semasa di hadapan Kaabah aku tidak melepaskan peluang memohon hajat yang telah lama aku simpan, betapa bersungguhnya aku akan perkara itu sampaikan aku siapkan senarai doa yang nak dibaca kerana takut terlupa.

2 antaranya adalah :

” Ya Allah kau satukanlah keluargaku, saudara- maraku, jiran-jiranku (nama disebut satu per satu). Damaikanlah mereka Ya Allah. Lembutkanlah hati mereka Ya Allah. “
( Pertelingkahan selalu berlaku antara saudara mara disebabkan permasalahan harta yang menjadi punca dan begitu juga salah faham antara jiran tetangga sehinggakan kami tidak bertegur/sapa )

” Ya Allah ampunkan dosaku Ya Allah. Bukanlah aku menolak fitrah-Mu tetapi Ya Allah janganlah kau jadikan aku anak derhaka ke atas ibubapa ku hanya kerana persoalan jodoh. “
( Aku risau dipaksa kahwin oleh ibubapa. Memandangkan ayah adalah wali dan berhak memaksa aku kahwin, aku sangat risau akan menjadi anak derhaka jika menolak )

Apa perkaitannya?

Sebenarnya doa aku termakbul lima bulan selepas mengerjakan umrah. Namun diambil sesuatu daripada aku sebagai pengganti. Suatu kehilangan yang kekal yang tak dapat dicari dan diganti iaitu insan yang aku panggil AYAH!!!

Segala doaku termakbul selepas pemergian ayah. Dia mengambil kembali satu daripada nikmatnya dan memberikan aku seribu nikmat lain sebagai pengganti. Maha Adil dan Pengasihnya Allah. Terkejut dan pilu hati ini, rupanya Allah mendengar rintihan hamba-Nya ini. Seribu hikmah disebalik ujiannya. Hubungan kami dan saudara mara pulih dalam sekelip mata dan begitu drastik, malah bertambah sangat baik. Dan aku kehilangan wali utama dalam hidupku.

” Ya Allah aku syukuri atas segala ujian dan nikmat kurniaan-Mu. Redhailah dan damaikanlah hatiku, ibuku, adik-beradikku dan saudara maraku dalam menerima pemergiannya. Jadikanlah segala ujian-Mu sebagai penguat iman kami. Tempatkanlah ayah di kalangan orang yang beriman. Ampunilah dosa- dosanya, jauhilah dia akan siksa kubur-Mu, terangilah kuburnya dengan cahaya-Mu, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah ilmunya, dan sedekah jariahnya sebagai bekalannya. Dan jadikanlah kami, sebagai anak yang soleh dan solehah sebagai pelaburan akhiratnya yang amat berharga. Amin. “

Sumber :
Karya Asal DrQeina, Hilangnya Kasih Ayah Sebagai Ganti.
Imej, fathers-day.jpg (214Kb)

Advertisements